Sorting by

×

WRUR: ‘RUMAH DIBAIK PULIH BAGAI SATU RAHMAT BESAR’

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

DURIAN TUNGGAL 5 November – Dua penerima bantuan menerusi Program Masyarakat Di Hati Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) Tahun 2025 meluahkan rasa syukur dan terharu selepas rumah mereka siap dibaik pulih.

Program tersebut diadakan bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal.

Bagi penerima, Sabiah Lambak, 77, tinggal sendirian di rumah peninggalan keluarganya menyifatkan bantuan MPAG itu sebagai satu rahmat besar selepas puluhan tahun menetap di kediaman usang itu.

“Alhamdulillah, saya tidak sangka rumah lama ini dapat dibaik pulih. Difahamkan pendawaian lama telah ditukar baharu, zink bocor juga telah diganti, syukurlah boleh tinggal lebih selesa selain tidak perlu risau bila hujan lebat,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau selepas Majlis Perasmian Program Masyarakat Di Hati MPAG Tahun 2025 yang disempurnakan oleh Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Yang Dipertua MPAG TPr. Datuk Saifuddin Abdul Karim serta kenamaan lain.

Sementara itu seorang lagi penerima, Zuraini Daud, 50, juga ibu tunggal kepada empat anak dari Kampung Panchor, turut menzahirkan rasa terima kasih atas bantuan yang diterima selepas kehilangan suami tiga bulan lalu.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat khususnya MPAG yang bantu untuk tukar lampu, kipas dan pelbagai lagi sumbangan, sekurang-kurangnya kami anak beranak dapat berteduh di rumah pusaka ini dalam keadaan lebih selesa,” jelasnya sebak.

Program Masyarakat Di Hati MPAG Tahun 2025 memperuntukkan RM20,000 bagi setiap rumah untuk kerja-kerja khidmat masyarakat seperti penggantian peralatan elektrik asas melibatkan kipas siling, soket dan lampu.

Selain itu warga MPAG juga turun padang bagi membersihkan kediaman penerima bantuan secara gotong-royong, sekali gus menceriakan suasana dan memberi sinar baharu kepada mereka yang terlibat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

543
Kongsi :
Previous post WRUR: KACAU DODOL KAMPUNG PANCHOR LUAR BIASA MERIAH
Next post WRUR: LEBIH 40 PERATUS ADUAN SEPANJANG WRUR DUN DURIAN TUNGGAL DISELESAIKAN