Sorting by

×

MELAKA CATAT PELABURAN BAHARU RM2.2 BILION SETAKAT JUN

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

PENGKALAN BATU 6 November – Melaka mencatatkan pelaburan baharu berjumlah RM2.2 bilion setakat Jun 2025, sekali gus meletakkan negeri ini sebagai antara destinasi diyakini oleh para pelabur.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, Melaka bersedia menerima pelaburan strategik bernilai tinggi dengan negeri ini menawarkan 22 kawasan perindustrian mampu menyokong pertumbuhan sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor, automotif, pemprosesan makanan, farmaseutikal dan aeroangkasa.

“Alhamdulillah, sehingga Jun 2025, Melaka telah mencatat RM2.2 bilion pelaburan baharu dan ini adalah satu petunjuk jelas terhadap keyakinan pelabur serta kemajuan ekonomi negeri yang berterusan.

“Hasil usaha berterusan ini, landskap perindustrian Melaka terus berkembang kukuh dengan menyaksikan sektor pembuatan menjadi penyumbang kedua terbesar kepada ekonomi negeri, merangkumi 36.1 peratus atau RM17 bilion daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK),” katanya. ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Kilang Baharu Texas Instruments Electronics Malaysia 2 (TIEM 2), di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan tempatan, Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri; Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta Naib Presiden & Pengarah Urusan Texas Instruments Malaysia, Subbah Rao.

Turut hadir Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin.

Sementara itu, beliau menyifatkan Texas Instruments telah menjadi antara kunci kejayaan landskap perindustrian Melaka selama lebih 14 tahun, sekali gus meletakkan negeri ini dalam peta perindustrian global.

“Menerusi kilang baharu ini, Texas Instruments telah mengukuhkan operasinya di Melaka dengan membawa teknologi canggih dan kepakaran bertaraf dunia. Saya juga yakin Texas Instruments akan terus menjadi rakan strategik yang berkongsi visi bersama Kerajaan Negeri dalam memacu inovasi serta membangunkan ekosistem industri yang berdaya saing dan mampan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

317
Kongsi :
Previous post MELAKA BAKAL JADI TUMPUAN PEMINAT SEJARAH DUNIA
Next post KPPA LUANG MASA TINJAU OPERASI PERKHIDMATAN FIRST AID STATION, ZON BEBAS KENDERAAN