Sorting by

×

TNB SUMBANG VAN JENAZAH BAHARU, AKHIRI PENANTIAN 10 TAHUN MASJID AL-GHUFRAN

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SUNGAI UDANG 12 November – Pengurusan Masjid Al-Ghufran, Ulu Bertam menarik nafas lega selepas penantian lebih 10 tahun untuk memiliki van jenazah baharu terlaksana hasil sumbangan dihulurkan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pengerusi Masjid Al-Ghufran, Ulu Bertam Zaidi Mohd Said berkata keperluan memiliki van jenazah sendiri semakin mendesak berikutan pertambahan lebih 12 taman perumahan sekitar Kampung Bertam Ulu.

Katanya, sebelum ini urusan jenazah hanya melibatkan penduduk kampung, namun kini ia turut melibatkan kawasan taman dengan jumlah ahli kariah yang ramai.

“Jika 10 tahun lepas, kalau orang kampung meninggal dunia, kami pihak pengurusan masjid mampu lagi untuk uruskan jenazah kerana ahli kariah tinggal berdekatan.

“Namun kini, jika kematian melibatkan penduduk taman perumahan, jenazah perlu dibawa ke masjid bagi dimandikan dan sebagainya sebelum dihantar ke tanah perkuburan bagi urusan pengebumian,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Zaidi berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Van Jenazah Baharu daripada TNB kepada Masjid Al-Ghufran yang disaksikan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeiri (DUN) Sungai Udang Datuk Rais Yasin di perkarangan masjid berkenaan, di sini, 10 November lalu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Retail TNB Retail, Datuk Kamal Arifin Kamal.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata masjid yang dibina pada 1904 itu turut menubuhkan tabung khairat kematian bagi memastikan hal pengurusan jenazah untuk semua kariah berjalan lancar.

“Alhamdulillah, dengan adanya van jenazah baharu ini, memang hal menguruskan jenazah sangat lancar dan cepat tanpa perlu menunggu lama.

“Van jenazah baharu ini juga telah digunakan pertama kali pada minggu lalu bagi menguruskan jenazah salah seorang ahli kariah di taman berhampiran, terima kasih Adun Paya Rumput, terima kasih TNB,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

612
Kongsi :
Previous post MAIM LATIH BELIA ASNAF JADI PEMIMPIN SECARA PERCUMA
Next post PEMBENTANG ANTARABANGSA SRI LANKA, INDONESIA KONGSI ILMU DI SIMPOSIUM MELAYU MELAKA