Sorting by

×

TERIMA KASIH MSN, KERAJAAN NEGERI HARGAI KEGIGIHAN ATLET- CHEONG MIN

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDARAYA MELAKA 12 November – Pencapaian merangkul dua pingat emas di gelanggang Sukan SEA Kemboja dan satu pingat emas pada Piala Dunia Taolu edisi ketiga di Yokohama, Jepun, melayakkan Ratu wushu negara, Tan Cheong Min dinobatkan Olahragawati Melaka 2023/2024 sempena Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka Ke-39.

Cheong Min, 27, berkata, dia tidak menyangka akan diumumkan sebagai Olahragawati Melaka buat kali kedua selepas menerima anugerah sama bagi edisi 2017/2018.

“Sudah pasti saya amat gembira dan bangga dengan anugerah diterima ini kerana ia sesuatu yang besar maknanya dalam karier seorang atlet.

“Anugerah diterima ini menunjukkan bukan sahaja Majlis Sukan Negeri (MSN) tetapi Kerajaan Melaka juga amat prihatin dan menghargai setiap usaha atlet, terima kasih atas sokongan diberikan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Anak kelahiran Tanjung Minyak itu berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka Ke-39 Bagi Tahun 2023/2024 yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di sebuah hotel di Lorong Bendahara, pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Datuk VP Shanmugam; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh serta Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka, Mohd Asri Ninggal.

Sementara itu, menurut Cheong Min fokusnya kini adalah untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi temasya Sukan SEA Thailand, hujung tahun ini.

“Persiapan dan latihan hanya untuk Sukan SEA Thailand kerana kejohanan besar yang lain sudah selesai.

“Ini adalah kali kedua saya menyertai Sukan SEA dan sudah pasti harapan akan dapat menyumbang pingat untuk kontinjen negara menerusi tiga kategori disertai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

495
Kongsi :
Previous post BOMBA MELAKA KELUARKAN KOMPAUN KESALAHAN LIBATKAN PILI BOMBA, PENGGERA KEBAKARAN
Next post RM1.4 JUTA BAIK PULIH FASILITI SUKAN UZUR SELURUH MELAKA