
JEJANTAS TUN TEJA SAKSI WANITA MARTABAT SUKAN TRADISIONAL
PENGKALAN BATU 6 Disember – Jejantas Tun Teja mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi ‘medan’ pertandingan sukan tradisional buat julung kalinya.
Kemeriahan Kejohanan Sukan Tradisional Tun Teja 2025 Piala YAB Ketua Menteri itu juga menggamit nostalgia apabila ada di antara peserta hadir menggayakan busana tradisional.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, penganjuran kejohanan itu bukan sahaja untuk memberi peluang kepada golongan wanita menonjolkan kebolehan diri, malah turut mengangkat kembali sukan tradisional.
Beliau berkata, Jejantas Tun Teja dipilih sebagai lokasi kejohanan kerana nama mercu ikonik negeri itu amat signifikan dengan dengan golongan wanita.
“Untuk kejohanan kali ini sebanyak sembilan permainan tradisional dipertandingkan antaranya tuju selipar, konda-kondi, dam aji, batu seremban dan congkak, di mana hampir kesemua permainan ini berlangsung di Jejantas Tun Teja.
“Malah turut berlangsung adalah Tun Teja Fun Walk yang disertai 600 peserta, pertandingan nyanyian lagu tradisional serta dan pencarian Tun Teja.
“Penyertaan cukup menggalakkan dan boleh dikatakan di luar jangkaan meskipun cuaca hujan namun tidak menghalang untuk orang ramai menunggu sehingga ke penghujung program,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Sukan Tradisional Tun Teja 2025 Piala YAB Ketua Menteri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Jejantas Tun Teja, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Negeri Melaka, Nasrul Ahmad dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.
Menurut Kalsom, kejohanan itu buat julung kalinya diperkenalkan tahun lalu, namun ia menampilkan kelainan pada edisi kali ini apabila dinaik taraf kepada Piala Ketua Menteri Melaka.
“Selain sambutan amat menggalakkan, kejohanan ini juga menjadi manifestasi usaha memelihara permainan tradisional justeru itu Ketua Menteri mahukan program ini diadakan setiap tahun.
“Justeru, kita akan teruskan namun lokasinya dijangka akan berubah bukan lagi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu mungkin di DUN-DUN lain,” katanya.
Pada edisi kali ini, DUN Rim dinobat sebagai Johan Kejohanan Sukan Tun Teja, sekali gus membawa pulang Piala YAB Ketua Menteri Melaka.
Tempat kedua pula menjadi milik DUN Taboh Naning dan DUN Ayer Limau di tempat ketiga.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


