Sorting by

×

SUARA ADUN BELIA DIAMBIL KIRA DALAM PENYEDIAAN BAJET NEGERI MELAKA 2026

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SERI NEGERI 8 Disember – Suara Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Belia bukan retorik dan tidak terhenti hanya sebagai rekod persidangan sebaliknya dijadikan salah satu rujukan penting dalam penyediaan Bajet Negeri Melaka 2026.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam berkata, idea dan suara Adun Belia diangkat sebagai elemen yang benar mempengaruhi proses perancangan kewangan dan dasar negeri.

Katanya, ia berikutan Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kewangan Negeri, Bahagian Khidmat Musaadah dan Pembangunan Belia serta sektretariat berkaitan telah mendokumentasikan, menyaring dan menilai setiap syor dikemukakan Adun Belia.

“Usaha memperkasakan Adun Belia yang dilaksanakan merupakan pelaburan strategik jangka panjang bagi melahirkan pemimpin muda yang kompeten, berintegriti dan memiliki analitikal yang tinggi.

“Kerajaan Negeri percaya bahawa generasi belia yang dibimbing melalui pendekatan berstruktur ini akan menjadi pemimpin masa depan yang mampu meneruskan kesinambungan pembangunan negeri secara progresif, inklusif dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan daripada Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) mengenai usaha Kerajaan Negeri perkasa Adun Belia Melaka dan apakah manfaat program Dewan Belia kepada negeri pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shanmugam turut memaklumkan manfaat wujudnya program Dewan Belia kepada negeri adalah belia diberi ruang menyuarakan pendapat dan cadangan.

Jelasnya, Dewan Belia turut diberi peluang menjadi penyumbang aktif kepada perancangan dasar negeri yang mana kesemua mereka dibahagikan kepada portfolio Exco-Exco Kerajaan Negeri.

“Manfaat sosial yang besar kepada masyarakat melalui pengukuhan semangat menjadi jambatan antara Kerajaan Negeri dan rakyat seterusnya Adun Belia ini dapat membantu menggerakkan program komuniti dan merapatkan jurang antara generasi.

“Program ini juga membawa manfaat intelektual dan strategik melalui pembangunan dasar negeri berorientasikan masa hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

581
Kongsi :
Previous post PERPUSTAKAAN DESA NADI PEMBANGUNAN KOMUNITI
Next post 43 SEKOLAH MENENGAH DI MELAKA GUNA ‘METAL DETECTOR’ KESAN TELEFON BIMBIT – RAHMAD