Sorting by

×

ENAM INFRASTRUKTUR KESIHATAN DI MELAKA

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

SERI NEGERI 8 Disember – Infrastruktur Kesihatan negeri terus diperkukuh apabila Kerajaan Persekutuan telah meluluskan enam projek pembangunan utama melibatkan kos keseluruhan melebihi RM350 juta bagi memastikan akses rawatan lebih selesa dan menyeluruh kepada rakyat Melaka.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, projek pertama ialah pembinaan Klinik Kesihatan Jenis 3 Cheng bernilai RM43.57 juta yang menggantikan klinik kesihatan sedia ada yang tidak dapat menampung jumlah kehadiran pesakit harian mencecah 1,016 orang.

Katanya, klinik baharu itu merangkumi perkhidmatan lengkap termasuk Perkhidmatan Pesakit Luar, Kecemasan (A&E) 24 jam, Kesihatan Ibu dan Anak (MCH), Perkhidmatan Pergigian, makmal, farmasi dan X-Ray, manakala klinik sedia ada akan dijadikan pusat rehabilitasi, klinik warga emas dan klinik pencegahan ketagihan (OCSA).

“Projek kedua membabitkan Hospital Jasin yang bakal menerima pembangunan blok tambahan baharu dengan kos permohonan RM305 juta, namun kerja awalan berjumlah RM500,000 telah diluluskan terlebih dahulu bagi kerja awalan meliputi siasatan tanah, penyediaan penilaian kesan alam sekitar, penyediaan reka bentuk, brif projek serta pemetaan utiliti di tapak.

“Kerja-kerja ini perlu dilakukan sebelum pembinaan penuh dimulakan bagi menempatkan Unit Rawatan Rapi (ICU), dewan bedah, wad pembedahan, wad rehabilitasi, unit radiologi serta Klinik Pakar Hospital Jasin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hee Sem berkata bagi projek ketiga membabitkan kerja awalan Kompleks Kesihatan Bersepadu Daerah Melaka Tengah yang telah dimohon dengan kos RM45 juta di Bandar Hijau, Durian Tunggal.

Jelasnya, kerja awalan turut diluluskan dengan kos RM500,000 untuk pelaksanaan kerja yang mengambil tempoh masa dua tahun sebelum projek penuh diluluskan.

“Bagi projek keempat, membabitkan naik taraf kemudahan Haemodialisis di tiga Hospital di Melaka melibatkan Hospital Melaka, Jasin dan Alor Gajah menerusi peruntukan RM230,000 bagi pembelian mesin hemodialisis baharu, mesin reverse osmosis (RO) mudah alih, defibrillator, vital sign monitor dan mesin dialyzer reprocessing.

“Seterusnya projek kelima, perolehan kenderaan dan peralatan bagi tiga pasukan pergigian bergerak Negeri Melaka bernilai RM1.35 juta di Klinik Pergigian Ujong Pasir, Durian Tunggal dan Selandar, termasuk van baharu serta peralatan pergigian mudah alih bagi memperluas perkhidmatan ke sekolah dan komuniti.

“Projek terakhir ialah perolehan Mesin X-Ray Blood Irradiator di Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Melaka bernilai RM2.5 juta bagi mempercepatkan proses iradiasi beg darah tanpa perlu menghantarnya ke Pusat Darah Negara, sekali gus meningkatkan keupayaan hospital merawat pesakit imun lemah terutamanya pesakit leukemia,” katanya.

Hee Sem berkata kesemua projek ini dijangka memperkukuh jaringan perkhidmatan kesihatan awam negeri, selain memastikan kemudahan lebih moden dan berskala besar dapat memenuhi keperluan masyarakat yang semakin meningkat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

265
Kongsi :
Previous post BAJET NEGERI MELAKA 2026: KEPERLUAN RAKYAT DITERJEMAH DALAM BENTUK TINDAKAN – RAIS
Next post BAJET NEGERI MELAKA 2026 MENYELURUH, MANFAAT BESAR UNTUK RAKYAT – MBMB