Sorting by

×

HAMPIR RM800,000 DIPERUNTUKKAN BAIK PULIH RUMAH DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

SERI NEGERI 8 Disember – Sebanyak 56 permohonan baik pulih rumah dengan kos keseluruhan RM787,950 telah diterima dan berjaya dilaksanakan menerusi Lembaga Perumahan Melaka (LPM) bagi tempoh 2023 hingga 2025.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, daripada jumlah itu, satu permohonan melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor dengan kos baik pulih sebanyak RM18,500.

Katanya, bagi kategori Rumah Bina Baharu pula, LPM menerima sebanyak 182 permohonan daripada seluruh negeri.

“Daripada jumlah itu, 50 permohonan telah diluluskan selepas melalui proses penilaian Mesyuarat Penilaian dan Pemilihan Program Melaka Rumahku.

“Khusus bagi DUN Pantai Kundor, sebanyak tujuh permohonan bina baharu diterima, dengan enam telah diproses dan lima daripadanya diluluskan untuk pembinaan.

“Satu permohonan tidak dipertimbangkan kerana tidak memenuhi syarat kelayakan, manakala satu lagi masih dalam proses semakan dokumen, lawatan tapak serta sesi temuduga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Tuminah Kadi @ Mohd Hashim pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata, bagi tahun 2025, Kerajaan Negeri mengekalkan peruntukan sebanyak RM3 juta, melibatkan RM2 juta untuk pembinaan rumah baharu dan RM1 juta bagi kerja-kerja baik pulih rumah di bawah Inisiatif Melaka Rumahku.

“Had siling peruntukan bagi inisiatif itu ditetapkan sebanyak RM70,000 bagi setiap pembinaan baharu dan RM20,000 bagi setiap kerja baik pulih rumah.

“Kerajaan Negeri komited untuk memperkukuh kerjasama bersama agensi Persekutuan dan Negeri bagi memastikan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah serta kes berkeutamaan seperti kediaman uzur dan tidak selamat didiami, terus memperoleh akses kepada kediaman yang lebih selesa dan berkualiti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

277
Kongsi :
Previous post BAJET NEGERI MELAKA 2026: PERANAN PENGAMAL MEDIA DIIKTIRAF
Next post BAJET NEGERI MELAKA 2026: PERUNTUKAN UNTUK ASNAF MENINGKAT – MAIM