Sorting by

×

MASJID TANAH: KAMPUNG KITA 2026 BERSKALA LEBIH BESAR

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

LENDU 21 Disember – Lebih mega dan berskala lebih besar tahun depan. Itu perancangan Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita 2026 selepas ia diumumkan bakal menjari acara tahunan.

Pengerusi Program Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, melihat kejayaan edisi sulungnya yang menggamit lebih 40,000 warga Masjid Tanah dari dalam dan luar Melaka, pihaknya bercadang untuk memanjangkan tempoh waktu penganjuran karnival daripada empat hari kepada tujuh hari pada tahun depan.

Beliau yang juga Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri berkata, konsep yang sama akan dikekalkan, namun beberapa penambahbaikan baharu akan diperkenalkan bagi menarik lebih ramai pengunjung memeriahkan karnival berkonsep rakyat itu.

“Selain acara, pemilihan lokasi karnival juga akan dibincangkan memandangkan lima Dewan Undangan Negeri (DUN) di Masjid Tanah mempunyai banyak lokasi yang menarik.

“Namun, saya melihat Taman Rekreasi Bukit Beringin adalah tapak yang sangat sesuai kerana ia berada di tengah-tengah Masjid Tanah, selain ia juga mampu menampung pengunjung yang ramai.

“Apapun, semuanya akan diperhalusi dan sudah pasti karnival berskala lebih besar akan kita hidangkan kepada warga Masjid Tanah pada tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Taman Rekreasi Bukit Beringin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Adun Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin; Adun Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah dan Adun Lendu Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Turut hadir, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas; serta lain-lain kenamaan.

Menurut Hameed, walaupun julung kali diadakan tahun ini, Karnival Masjid Tanah: Kampung Kita telah berjaya mencetuskan impak luar biasa kepada rakyat di Masjid Tanah.

Jelas beliau, selain diisi dengan pelbagai program menarik berbentuk kerohanian, sukan, ilmu dan bermacam-macam lagi, karnival itu juga berjaya menarik minat anak perantau untuk pulang ke kampung halaman bagi memeriahkan lagi suasana.

“Saya dimaklumkan ada yang sanggup turun dari Singapura untuk bersama-sama dalam karnival ini dan inilah semangat ‘Kampung Kita’ yang mahu dibawa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

203
Kongsi :
Previous post BUSANA UNIK KELUARGA NUR SYUHADAH TARIK PERHATIAN TOK RAUF
Next post BUSANA ARAB ILHAM NENEK BAWA TUAH