
LEBIH BANYAK BANGUNAN KERAJAAN BAKAL DILENGKAPI KEMUDAHAN SOLAR – EXCO KANAN
BANDARAYA MELAKA 29 Disember – Kerajaan Negeri mahu semua pihak berkepentingan memainkan peranan dalam memperluaskan pelaksanaan projek tenaga solar khususnya melibatkan bangunan-bangunan kerajaan.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, terdapat ruang dan peluang yang boleh dimanfaatkan oleh Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) bersama rakan kerjasama strategik termasuk menerusi pelaksanaan projek di tapak parkir bangunan kerajaan.
“Kerajaan Negeri sentiasa menetapkan sasaran pelaksanaan projek tenaga boleh baharu, namun pendekatan diambil bersifat realistik memandangkan setiap bangunan kerajaan tertakluk kepada syarat dan peraturan yang ketat.
“Tahun lalu projek ini telah dibawa ke peringkat lembaga pengarah dan alhamdulillah kita menyaksikan pelaksanaannya bermula di tapak parkir bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Dokumen Usahasama antara Taha Cahaya Sdn Bhd, Lembaga Tabung Amanah Melaka (LTAM) dan PTHM bagi pelaksanaan Solar Integrated Carpark di Bangunan UTC, di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Taha Cahaya Sdn Bhd Mohd Shahrul Sidin dan Ketua Pegawai Eksekutif PTHM Noramirul Nizam Kamis.
Rais berkata, Kerajaan Negeri turut menyasarkan untuk memperluaskan lagi pelaksanaan projek solar di lebih banyak lokasi selain memperkukuh kerjasama sedia ada antara PTHM dan rakan strategik pada tahun hadapan
“PTHM turut melaksanakan pelbagai inisiatif solar lain termasuk solar perumahan dengan penglibatan pemain swasta yang memberi peluang kepada kakitangan serta pegawai kerajaan memasang sistem solar di kediaman masing-masing,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


