Sorting by

×

MELAKA NOKTAHKAN 2025 DENGAN DERETAN KEJAYAAN DAN PENCAPAIAN

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

KLEBANG 1 Januari – Negeri Melaka menoktahkan perjalanan 2025 dengan deretan pencapaian dan kejayaan yang membanggakan.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, kejayaan tersebut antaranya adalah hasil cetusan idea bernas dan progresif Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam memacu transformasi landskap pelancongan Melaka.

Katanya, idea-idea itu bukan sahaja menjadikan Melaka lebih hidup dan menarik untuk dikunjungi, malah memberi manfaat langsung kepada rakyat negeri ini.

“Inisiatif-inisiatif seperti Melaka Bila Larut Malam, Zon Bebas Kenderaan serta pelbagai lagi ilham strategik Ketua Menteri telah menghidupkan suasana bandar dan mewujudkan ekosistem pelancongan
yang lebih dinamik serta berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, Peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Majlis Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas di Encore Melaka, di sini, malam tadi.

Majlis penuh warna-warni itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman.

Turut memeriahkan majlis, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz.

Yang turut hadir, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata kemuncak kepada kejayaan pelancongan negeri terserlah apabila Melaka seterusnya dipilih menjadi tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 oleh UN Tourism dan ini merupakan satu pengiktirafan penting apabila Melaka menjadi tumpuan dunia.

“Melaka turut diberi kepercayaan sebagai lokasi pelancaran Visit Malaysia 2026 (VM2026) yang telah disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sambutan Ambang yang dianjurkan bermula dari 21 hingga 31 Disember, telah menjadi penutup yang bermakna kepada perjalanan tahun 2025 dengan pelbagai program dilaksanakan bersama Rejimen Gerak Khas dan telah menerima kehadiran lebih 140,000 orang pengunjung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

400
Kongsi :
Previous post SITI NURHALIZA HARGAI PENGIKTIRAFAN MELAKA
Next post ORKESTRA BADAN SENI WARISAN ‘DUTA BUDAYA’ MELAKA