Sorting by

×

MELAKA TUTUP 2025 DENGAN KEJAYAAN, MELANGKAH 2026 DENGAN SERIBU IMPIAN

Masa Membaca:2 Minit, 24 Saat

KLEBANG 1 Januari – Persembahan ikonik dan percikan bunga api menutup tirai 2025 di Melaka dengan penuh gilang-gemilang.

Itu suasana kemeriahan Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, Peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Majlis Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas di Encore Melaka, di sini, malam tadi.

Majlis penuh warna-warni itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Abdul Rahman.

Turut memeriahkan majlis, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bersama isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab Aziz.

Yang turut hadir, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan serta lain-lain kenamaan.

Dianggarkan lebih 30,000 pengunjung berbilang kaum membanjiri perkarangan Encore Melaka sejak petang lagi bagi bersama-sama meraikan detik bermulanya tahun baharu 2026 yang dijangka bakal melakar satu lagi lembaran baharu untuk bumi bersejarah ini.

Sambutan yang bermula pada jam 8.30 malam itu dibuka dengan segmen persembahan untuk rakyat bersama Orkestra Warisan Seni Melaka, selain

Ia disambung dengan segmen kedua yang menyaksikan ‘lagu berhantu’, Senandung Anak Melaka dendangan Yasser Fikri dan Siti Noraini menggamatkan suasana.

Menambah lagi warna sambutan, persembahan Zapin Seribu sekali lagi dibawakan khas ke Encore Melaka dengan menampilkan penari dari empat buah negeri dan diiringi lagu Zapin Bunga Hutan, Zapin Yaladan serta Zapin Melayu yang didendangkan Haziq Rosebi dan Fauziah Gambus.

Selepas itu, dua ikon irama tradisional itu turut menghiburkan tetamu lagu Zapin Asam Paya dan Norlela.

Majlis diteruskan dengan ucapan oleh Ketua Menteri, diikuti Majlis Penyampaian Anugerah Tokoh Pelancongan Negeri Melaka.

Anugerah itu diberikan kepada komposer Senandung Anak Melaka Mohd Fauzi Mohammad, selain Duta Setiakawan Pelancongan Melaka Datuk Fan Bingbing dan biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Pengunjung kemudiannya terkesima dengan persembahan istimewa oleh Rejimen Gerak Khas dan Tourism Melaka yang membawakan gimik peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0.

Menariknya, persembahan itu dibawakan khas dari udara, darat dan laut sebelum gimik pelancaran montaj Tahun Melawat Melaka 2.0.

Selepas itu, giliran Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Amy Search mengambil giliran menghiburkan orang ramai dengan lima buah lagu popular mereka.

Acara kemuncak adalah kiraan detik 12 tengah malam menandakan masuknya tahun 2026 yang bakal membuka lembaran baharu untuk Negeri Melaka, disusuli dengan pertunjukan bunga api berwarna-warni.

Sambutan itu disusuli dengan persembahan tahun baharu 2026 iaitu Senandung Anak Melaka yang dinyanyikan Yasser Fikri dan Datuk Seri Siti Nurhaliza, diikuti lima lagu oleh kumpulan Search.

Ia diakhiri dengan cabutan bertuah utama berupa sebuah kereta Proton Bezza untuk pengunjung bertuah pada sambutan malam tadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

906
Kongsi :
Previous post MELAKA TERAJUI PELANCONGAN DIGITAL DENGAN SMART TOURISM AI, PASPORT PELANCONGAN
Next post HELIKOPTER SUPER LYNX TLDM MENDARAT CEMAS DI PERAIRAN KLEBANG, 4 KREW SELAMAT