Sorting by

×

MELAKA SEMAKIN DEKAT DI HATI FAN BINGBING, TERUS CIPTA MEMORI INDAH

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

KLEBANG 1 Januari – Bintang filem antarabangsa dari China, Datuk Fan Bingbing menyatakan rasa gembira dan teruja dapat menyambut Tahun Baharu 2026 di Melaka.

Lebih manis, sambutan itu turut dihiasi kenangan indah apabila beliau dianugerahkan Ikon Diplomasi Budaya Antarabangsa Melaka pada Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, Peluncuran Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Majlis Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas di Encore Melaka, di sini, semalam.

Anugerah itu diberikan di atas peranan strategiknya yang juga Duta Setiakawan Pelancongan Negeri Melaka memperkukuh
diplomasi budaya serta meningkatkan keterlihatan dan imej Melaka di peringkat
antarabangsa melalui pengaruh seni, budaya dan jaringan global.

Fan Bingbing mengakui dalam tempoh dua tahun mengenali Melaka, beliau semakin menghargai keunikan negeri bersejarah ini.

“Sambutan Tahun Baharu 2026 di Melaka sungguh meriah dan memberi pengalaman yang amat menyeronokkan.

“Saya juga berasa bangga menerima anugerah ini yang memberi pengiktirafan terhadap usaha saya mempromosikan Melaka di peringkat antarabangsa. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri.

“Lebih menarik lagi saya semakin mengenali Melaka dengan lebih mendalam termasuk makanan, tempat tarikan pelancongan, lokasi riadah serta kemesraan orang Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas sambutan berkenaan.

Terdahulu, Fan Bingbing menerima Anugerah Ikon Diplomasi Budaya Antarabangsa Melaka itu disampaikan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Turut bersama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad dan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Selaku penerima anugerah berkenaan, pelakon X-Men: Days of Future Past itu menerima sijil penghargaan Kerajaan Negeri; jambangan bunga dan trofi.

Dalam pada itu, Fan Bingbing turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut tahun baharu kepada seluruh rakyat Melaka, sambil berharap hubungan persahabatan dan kerjasama antarabangsa yang terjalin selama ini terus diperkukuhkan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

934
Kongsi :
Previous post INSIDEN HELIKOPTER: LATIHAN BERULANG KALI, KEJADIAN DI LUAR JANGKA