Sorting by

×

VM2026: MELAKA ANTARA PINTU MASUK UTAMA SAMBUT PELAWAT ANTARABANGSA

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BANDARAYA MELAKA 1 Januari – Malaysia menunjukkan kesediaan menyambut kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) dengan mengadakan sambutan ketibaan pelawat antarabangsa di semua pintu masuk negara, hari ini.

Pengarah Bahagian Pentadbiran Tourism Malaysia Amirul Ariffin Md Nasir berkata, program itu bukan hanya berlangsung di Melaka, malah dilaksanakan serentak di seluruh negara melibatkan 55 pintu masuk utama melalui laluan darat, udara dan laut.

Menurutnya, sambutan tersebut memberi gambaran awal negara berada dalam keadaan bersedia untuk menerima kehadiran pelawat antarabangsa dalam skala besar, sekali gus merealisasikan sasaran 43 juta pelancong tahun ini.

“Di Melaka melibatkan pintu masuk laut dan setakat 1 Januari seramai 160 penumpang dari Dumai, Indonesia telah tiba melalui Terminal Feri Antarabangsa Melaka.

“Secara keseluruhan sehingga November 2025, Malaysia merekodkan 138 juta kemasukan pelawat, di mana ia menunjukkan trend peningkatan sektor pelancongan yang sangat memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyambut ketibaan pelawat antarabangsa bersempena pelancaran rasmi kempen VM2026 di Kompleks ICQS Terminal Feri Antarabangsa Melaka, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirul berkata kempen VM2026 bakal dimeriahkan dengan lebih 300 acara pelancongan yang dirancang di seluruh negara sepanjang tahun 2026.

“Melaka sahaja akan menganjurkan 220 acara selain turut disokong oleh kempen Tahun Melawat Negeri yang dilaksanakan di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

“Gabungan penganjuran acara peringkat kebangsaan dan negeri ini dijangka akan memeriahkan lagi arena pelancongan negara, sekali gus meningkatkan jumlah ketibaan pelancong serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Tourism Malaysia optimis VM2026 akan menjadi pemangkin kepada kebangkitan industri pelancongan negara ke tahap yang lebih baik dan mampan pada masa hadapan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

534
Kongsi :
Previous post MOHD FAUZI ‘SEGARKAN’ SENI BUDAYA MELAKA DALAM LAGU
Next post BANJIR PULIH, PPS SK PARIT PENGHULU DITUTUP