
INSIDEN HELIKOPTER: SEORANG PEGAWAI TLDM DIRAWAT DI UNIT RAWATAN RAPI
PENGKALAN BATU 1 Januari — Seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka susulan insiden pendaratan cemas sebuah helikopter di perairan Pantai Klebang, malam tadi.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, Leftenan Komander Afiq Muzani Abdul Aziz mengalami komplikasi paru-paru akibat kejadian itu namun pegawai tersebut berada dalam keadaan sedar dan stabil.
Katanya, namun pegawai berkenaan masih memerlukan pemantauan rapi oleh pasukan perubatan.
“Seorang lagi kru udara, Bintara Kanan (BK) Technician Marine Srimala (TMS) Mohammad Zullfika Mohiddi turut menerima rawatan di hospital sama akibat kecederaan di bahagian pinggang dan betis kanan.
“Manakala dua lagi mangsa iaitu juruterbang, Leftenan Komander Muhamad Kamal Abdul Rani dan Leftenan Mohammad Faiz Razali pula telah dibenarkan keluar selepas menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka hari ini,” katanya.
berkata selepas menziarahi kedua-dua mangsa yang turut diiringi Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin di Hospital Melaka.
Dalam kejadian 10.50 malam, sebuah helikopter Super Lynx dinaiki empat kru mendarat cemas ketika pesawat sedang melaksanakan penerbangan demonstrasi sempena Sambutan Hari Ulang Tahun ke-60 Grup Gerak Khas (GGK), Tentera Darat Malaysia (TDM) malam tadi.
Dalam pada itu, Adly berkata TLDM akan melakukan operasi menaikkan bangkai helikopter berkenaan pada hari ini dan akan dibawa ke Pangkalan TLDM Lumut untuk dibuat penilaian teknikal.
Beliau berkata sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menilai dan mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut bagi memastikan keselamatan pegawai dan anggotanya pada masa hadapan.
“Yang paling penting bagi kita adalah bagaimana kita melihat penyelesaian kepada isu-isu ini kerana kalau boleh kita tak mahu benda-benda seumpama ini berlaku (pada masa depan).
“Jadi semua aspek kita akan ambil kira dalam penilaian kita sama ada dari segi anggota kita dan juga dari segi teknikal termasuk keupayaan-keupayaan aset kita,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


