Sorting by

×

INSIDEN HELIKOPTER: LATIHAN BERULANG KALI, KEJADIAN DI LUAR JANGKA

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

PENGKALAN BATU 1 Januari — “Latihan dilakukan berulang kali dan ia berlaku sekelip mata,”itu kata  Bintara Kanan (BK) Technician Marine Srimala (TMS) Mohammad Zullfika Mohiddi.

Mohammad Zullfika antara empat kru helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang cedera dalam insiden pendaratan cemas di perairan Pantai Klebang, malam tadi.

Anggota terbabit yang kini menerima rawatan di Hospital Melaka berkata, ketika kejadian beliau dan rakan-rakannya sedang bersiap sedia untuk melaksanakan demonstrasi menyelamatkan tebusan sempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-60 Grup Gerak Khas (GGK) dan Sambutan Ambang Tahun Baharu serta Peluncuran Tahun Melawat Melaka (TMM) 2.0 di Encore Klebang malam tadi.

Menurutnya, helikopter dinaiki berada dalam keadaan berlegar di udara tidak jauh dari kawasan persembahan sebelum insiden itu berlaku secara tiba-tiba.

“Kami sudah berada di sini menjalani latihan selama tujuh hari dan latihan itu dilakukan berulang kali, termasuk latihan pada waktu malam.

“Keadaan cuaca ketika itu juga baik, bulan terang dan langit tidak berawan malah pemeriksaan rapi telah dilakukan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan.

Terdahulu, dia menerima lawatan daripada Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Shamsuddin Ludin.

Dalam kejadian pada jam 10.50 malam itu, sebauh helikopter Super Lynx milik TLDM dinaiki empat kru udara melakukan pendaratan cemas ketika melaksanakan penerbangan demonstrasi sempena sambutan berkenaan.

Akibat insiden itu, Mohammad Zullfika mengalami kecederaan di bahagian pinggang dan betis kanan, namun keadaannya dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan lanjut.

Seorang lagi pegawai TLDM, Leftenan Komander Afiq Muzani Abdul Aziz kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka akibat komplikasi pada paru-paru manakala dua lagi pegawai Leftenan Komander Muhamad Kamal Abdul Rani dan Leftenan Mohammad Faiz Razali dibenarkan keluar selepas menerima rawatan di hospital sama.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

349
Kongsi :
Previous post MELAKA TIDAK PERNAH MENGHAMPAKAN – PENGUNJUNG
Next post MELAKA SEMAKIN DEKAT DI HATI FAN BINGBING, TERUS CIPTA MEMORI INDAH