PBT disaran bantu sebar aplikasi ‘Melaka eXcess’

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 15 Jun – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini disaran untuk membantu menyebarkan penggunaan aplikasi ‘Melaka eXcess’ ke kawasan pentadbiran masing-masing.

Ketua Menteri, Datuk Haji Sulaiman Md Ali berkata, setakat ini sebanyak 200 syarikat telah berdaftar dengan ‘Melaka eXcess’ dan dijangka 2,000 syarikat bakal berdaftar sehingga hujung tahun ini.

“Kita juga menjalinkan usahasama dengan sebuah syarikat swasta, Pilihan Lampiran Sdn Bhd sebagai pembekal teknologi, memperkenalkan aplikasi ‘Melaka eXcess’ yang akan menjadi medium utama transaksi tanpa tunai (cash free) di Melaka.

“Ini usaha untuk menyemarakkan semula sektor pelancongan di Melaka dan membantu pemain industri pelancongan bangkit semula selepas terkesan dengan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Kempen ‘Dream Now, Travel Later’ dan Aplikasi Pelancongan Rasmi Negeri Melaka iaitu ‘Melaka eXcess’ di Seri Negeri, hari ini.

Inisiatif itu dilaksanakan melalui Sungai Melaka Ventures Sdn Bhd (anak syarikat Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka).

Menurut Sulaiman, setakat minggu lalu lebih 5,000 tempahan bilik hotel direkodkan di negeri ini sehingga Disember ini.

“Banyak hotel-hotel yang telah ditempah pelancong, jumlah ini akan meningkat dari semasa ke semasa dan sektor pelancongan di negeri ini sudah mula melaksanakan aktiviti seperti biasa.

“Pelancong jangan takut datang ke Melaka, PBT sejak awal sudah melakukan kerja-kerja sanitasi khususnya di kawasan tumpuan awam,” katanya.

Views:

471
Kongsi :
Previous post Melaka putuskan SOP operasi pasar terbuka Rabu ini
Next post Terkejut dapat siakap tepi pantai
Ubah saiz-+=