
MOLEK RESIDENCE FASA 3 IKON KEDIAMAN TERES MODEN DI BUKIT KATIL
BUKIT KATIL 12 Januari – Molek Residence Fasa 3 di Bukit Katil mencatatkan prestasi jualan memberangsangkan apabila 237 daripada 354 unit rumah teres dua tingkat pegangan bebas berjaya dijual.
Pengarah Jualan dan Pemasaran PB Reality Wayne Tan berkata, projek itu diposisikan sebagai pembangunan kediaman utama (flagship) syarikat di salah satu koridor pertumbuhan paling pesat dan mendapat permintaan tinggi di Melaka.
“Molek Residence Fasa 3 terletak secara strategik berhampiran pusat Bandar Melaka dan menjadi projek perumahan teres dua tingkat pegangan bebas yang paling hampir dengan bandar.
“Fasa ini merangkumi 354 unit rumah yang direka dengan teliti bagi menyeimbangkan fungsi, keselesaan serta gaya hidup moden,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Pelancaran Molek Residence Fasa 3 yang disempurnakan Pengarah Urusan PB Reality Datuk Seri Poh Geok Seng, di sini, semalam.
Menurutnya, unit standard ditawarkan dengan empat bilik tidur dan tiga bilik air, sesuai untuk keluarga muda, pembeli rumah pertama serta pelabur.
“Manakala unit premium pula berkeluasan 22’ x 75’ dengan empat bilik tidur dan empat bilik air, menawarkan ruang lebih luas serta privasi tambahan untuk keluarga berbilang generasi.
“Harga rumah bermula daripada RM507,000 bagi unit bersaiz 20’ x 70’, RM542,000 untuk unit 22’ x 70’ dan RM683,000 bagi unit terbesar 22’ x 75’.
“Setakat ini, jumlah jualan keseluruhan kami telah mencecah RM141 juta. Apa yang paling mengejutkan, unit terbesar dengan harga tertinggi RM683,000 mencatatkan jualan paling laris,” katanya.
Wayne berkata, konsep pembangunan Molek Residence Fasa 3 turut menekankan kos pengubahsuaian yang rendah bagi membantu golongan muda memiliki rumah impian mereka.
“Sasaran utama kami adalah golongan muda dan keluarga muda. Namun, kami juga menerima permintaan tinggi daripada ibu bapa yang mencari rumah lebih besar untuk anak-anak mereka,” katanya.
Sementara itu Pengarah Perancangan Pembangunan PB Reality Joe Poh berkata, fasa pertama dan kedua Molek Residence telah berjaya diserahkan kepada lebih 1,000 pemilik rumah.
“Tahun ini kami melancarkan fasa 3 dengan 354 unit rumah yang lengkap dengan kemudahan eksklusif bertaraf kondominium.
“Antara fasiliti disediakan termasuk kolam renang, kolam kanak-kanak, gimnasium, gelanggang pickleball, gelanggang bola keranjang serta rumah pengawal,” katanya.
“Molek Residence Fasa 3 merupakan komuniti berpagar dan berpengawal sepenuhnya dengan kawalan keselamatan 24 jam,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

