
RM35 JUTA UNTUK TRANSFORMASI SEKOLAH DAIF MELAKA
AYER MOLEK 12 Januari – Lebih RM35 juta diperuntukkan bagi melaksanakan Program Pembinaan Semula lapan sekolah daif di negeri ini.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, jumlah peruntukan itu diterima Melaka menerusi inisiatif Bangunan Daif 2025.
“Untuk sekolah daif di Melaka ini kita telah menerima peruntukan sebanyak RM35,147,714.34 bagi melaksanakan pembinaan semula dan naik taraf pembangunan sekolah.
“Dana disalurkan untuk pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) On Lok, Jasin; Sekolah Kebangsaan (SK) Sebatu, Jasin; SK Parit Gantong, Sungai Rambai; SK Simpang Empat, Alor Gajah; SK Kampung Tengah, Alor Gajah; SK Tun Syed Ahmad Shahabudin, Melaka Tengah; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Klebang Besar, Melaka Tengah dan SJKC Chabau, Melaka Tengah.
“Ada yang sudah siap pembangunan dan sedang dilaksanakan ia bagi memberikan keselesaan kepada anak-anak,” katanya pada sidang media selepas menyantuni murid SK Paya Dalam pada hari pertama sesi persekolahan 2026, hari ini.
Menurut Rahmad, selain sekolah daif Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Pendidikan Negeri turut melaksanakan penambaikan keatas beberapa sekolah lain bagi memenuhi keperluan pendidikan.
“Projek ini antaranya merangkumi bilik darjah, bengkel Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), dewan sekolah dan bilik mesyuarat.
“Malah dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) juga telah meluluskan projek pembinaan Kompleks Sekolah Batu Berendam (rendah dan menengah), Kompleks Sekolah Anjung Gapam (rendah dan menengah) dan SMK Rembia,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


