Sorting by

×

WUJUDKAN KOMPLEKS BATIK DI FELDA HUTAN PERCHA

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

MACHAP JAYA 17 Januari – Hasrat mahu mewujudkan sebuah kompleks batik di Felda Hutan Percha mampu membantu mempromosikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya sebagai sebuah destinasi tumpuan luar bandar yang menawarkan pelbagai produk pelancongan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem berkata berdasarkan kesungguhan ditunjukkan komuniti Felda Hutan Percha dalam menguasai ilmu pembuatan batik, tidak mustahil angan-angan berkenaan dapat direalisasikan.

Katanya, apa yang membanggakan adalah meskipun masih baru dalam bidang itu, kualiti batik yang dihasilkan amat memuaskan malah berjaya memikat pelancong asing untuk membelinya sebagai cenderahati.

“Proses menghasilkan batik amat sistematik, setiap orang ada tugas dan tanggungjawab masing-masing. Saya memberikan sokongan penuh apabila mereka menyuarakan hasrat untuk mewujudkan kompleks batik di peringkat komuniti ini.

“Tidak mustahil suatu hari nanti Felda Hutan Percha akan menjadi pengeluar Batik Melaka. Sudah pasti apabila ada kompleks sendiri lengkap dengan semua peralatan diperlukan skala pengeluargan dapat ditingkatkan lagi, pasaran pula lebih luas,” katanya.

Beliau yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata demikian ketika meluangkan masa melawat pembuatan batik di Makmal Pembangunan Dan Pengeluaran Produk Kraf Batik Terap Fasa 1, di Balai Raya Felda Hutan Percha.

Hee Sem, turut mengalu-alukan suri rumah untuk aktif dalam bidang itu yang boleh dikembangkan sebagai pendapatan sampingan yang lumayan.

“Sudah pastinya kita berhasrat menjadikan penghasilan batik sebagai satu bidang boleh dikomersialkan sepenuhnya bagi membantu komuniti menjana pendapatan.

“Malah dengan sokongan dan peruntukan yang sewajarnya, penghasilan batik Felda Hutan Percha dilihat mempunyai potensi menjadi satu industri komuniti mampan serta sumber pendapatan jangka panjang kepada penduduk setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

408
Kongsi :
Previous post TAPAK BAZAR AIDILFITRI DAN PASAR RAMADAN KEKAL SEPERTI TAHUN LALU – MBMB
Next post MPHTJ TERUS GEMPUR PENIAGA WARGA ASING TANPA LESEN