Sorting by

×

MBMB PASTIKAN BANDARAYA MELAKA BERADA DI TAHAP TERBAIK, BANTU GAMIT LEBIH RAMAI PELANCONG

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 21 Januari – Pelbagai gerak kerja dilaksanakan secara proaktif dan berterusan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bagi memastikan bandaraya Melaka berada dalam keadaan terbaik untuk dikunjungi sempena Tahun Melawat Melaka 2.0.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, pihaknya komited memainkan peranan sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan memastikan persekitaran kawasan pentadbiran sentiasa berada pada tahap terbaik, selamat dan kondusif bagi menyokong peningkatan kehadiran pelancong domestik serta antarabangsa.

“MBMB menyambut baik usaha yang dilakukan Kerajaan Negeri dengan melaksanakan Tahun Melawat Melaka 2.0 ini.

“Untuk itu pelbagai persiapan rapi dan aktiviti telah dirangka sepanjang 2026 ini antara membabitkan aspek keceriaan, pengindahan dan kebersihan termasuk penganjuran program,” katanya.

Shadan berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 YAB Ketua Menteri bertemakan Tahun Pelaksanaan: Petunjuk Kemampanan, Menyelesaikan Amanah, Memperkukuhkan Prestasi di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.

Menurut beliau, penganjuran Tahun Melawat Melaka 2.0 bukan sahaja berfokus kepada kemasukan pelancong, malah menjadi platform untuk memperkukuh imej Melaka sebagai bandaraya bersejarah yang bersih, ceria dan mesra pelawat.

“Pengiktirafan ASEAN Clean Tourist City Award’ sempena ASEAN Tourism Awards 2026 yang diterima juga secara tidak langsung akan memberi keyakinan kepada pelancong untuk datang ke Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1677
Kongsi :
Previous post HELMY MAHU TAJA 10 ANAK DUYONG IKUTI KELAS AL-QURAN
Next post ALASAN LUPA PERBAHARUI LESEN ANTARA PENYUMBANG KOMPAUN TINGGI MPHTJ TAHUN 2025