Sorting by

×

MAIM PERKASA WAKAF KESIHATAN, BANTU ASNAF DAN GOLONGAN MEMERLUKAN

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

BANDARAYA MELAKA 23 Januari – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) mengambil langkah proaktif memperkasa wakaf kesihatan sebagai instrumen kebajikan perubatan bertujuan meringankan beban golongan asnaf dan masyarakat yang memerlukan di negeri ini.

MAIM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pelaksanaan wakaf itu memberi manfaat besar dalam meringankan beban kos rawatan melalui penyediaan alatan perubatan serta bekalan ubat-ubatan yang selamat dan berkualiti.

“Inisiatif ini bukan sahaja menyokong keperluan rawatan kesihatan, malah menjadi bentuk kebajikan berterusan yang mampu meningkatkan kesejahteraan umat Islam secara menyeluruh,” kata kenyataan itu.

Terdahulu MAIM telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka yang diketuai Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr. Azhar Mohd Sali bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam memperkukuh pelaksanaan wakaf kesihatan.

Delegasi tersebut disambut oleh Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad serta Pengurus Baitulmal MAIM Mohd Hairulamin Mohd Sis.

Menerusi kunjungan itu, MAIM dan JKN Melaka turut mengadakan perbincangan terhadap usaha memperluas manfaat wakaf kesihatan kepada lebih ramai penerima.

MAIM berharap kerjasama berterusan bersama JKN Melaka dapat mempertingkat impak pelaksanaan wakaf kesihatan, sekali gus menyokong sistem kebajikan dan kesihatan di negeri ini.

“Pelaksanaan wakaf adalah berteraskan empat rukun utama, iaitu al-wakif (pihak yang mewakafkan harta), al-mauquf (harta yang diwakafkan), al-mauquf ‘alaih (penerima manfaat wakaf) dan sighah (lafaz wakaf),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

480
Kongsi :
Previous post SUMBANG BERAS UNTUK ORANG KAMPUNG SETIAP DUA MINGGU
Next post PENGALAMAN NAIK BOT TEMPUR, HADIAH HARI JADI UNTUK ANAK