
PENGALAMAN NAIK BOT TEMPUR, HADIAH HARI JADI UNTUK ANAK
KLEBANG 23 Januari – Peluang menaiki bot tempur Rejimen Gerak Khas (RGK) pada Karnival Tentera Bersama Rakyat Sempena Majlis Penutup Kursus Asas Komando Siri AK 2/2025 di Encore, dimanfaatkan Shazilawati Mohd, 52, untuk meraikan hari ulang tahun kelahiran anak lelakinya.
Shazilawati dari Taman Bertam Setia berkata, sebelum ini anak lelakinya Muhammad Irfan Zuhairi, 25, ada menyuarakan hasrat untuk merasai pengalaman menaiki bot tempur sempena Sambutan Jubli Intan Rejimen Gerak Khas (RGK) Ke-60 Fasa 2 Tahun 2025 bulan lalu, namun perancangan mereka terbantut akibat kekangan masa.
“Jadi kali ini peluang itu kembali terbuka, kerana tidak mahu menghampakan anak saya bawa dia ke sini dan alhamdulillah dapat merealisasikan permintaan anak.
“Secara tidak langsung sebagai orang awam saya dan pengunjung lain dapat merasai pengalaman bagaimana anggota komando bertugas,” katanya ketika ditemui di tapak karnival hari ini.
Sementara itu Seri Ismail, 47, dari Jasin berkata, peluang menaiki bot tempur tersebut menggamit kenangan lama ketika anaknya masih kecil.
“Kali terakhir saya naik bot tempur ini masa anak masih kecil. Pengalaman memang sangat menyeronokkan dan menjadi satu kenangan berharga.
“Bila ada acara begini, barulah kita berpeluang merasai sendiri bagaimana tentera menjalankan misi mereka, tambahan pula aktiviti ini percuma. Keadaan laut berombak serta arah angin kencang memberi gambaran sebenar kesukaran dihadapi anggota tentera semasa operasi,” katanya.
Manakala Iffa Hamizah Salimi, 28, dari Batu Berendam berkata, dia hadir buat kali kedua kerana tidak berpeluang menaiki bot pada penganjuran sebelum ini.
“Sebelum ini datang tapi tiada rezeki, jadi kali ini saya datang semula sebab memang mahu rasa sendiri bagaimana tentera bertugas,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


