Sorting by

×

MINDEF ALU-ALUKAN SEMUA NEGERI JAYAKAN ‘HANRUH’

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

PAYA RUMPUT 27 Januari – Semua negeri dalam Malaysia dialu-alukan untuk bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi menjayakan matlamat HANRUH atau Pertahanan Menyeluruh.

HANRUH merupakan konsep atau strategi keselamatan negara yang menggabungkan seluruh tenaga baik bersama agensi awam, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), malah rakyat bagi tujuan mempertahankan kedaulatan negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagi tujuan tersebut, MINDEF telah memperuntukkan RM6 juta bagi pelaksanaan Projek Jiwa Madani iaitu program berimpak yang boleh dirasai masyarakat atau komuniti di sesuatu kawasan.

Jelas beliau, setiap Kerajaan Negeri boleh memainkan peranan besar menerusi projek tersebut dalam mendekatkan tentera dan komuniti dan seterusnya menyuburkan budaya keamanan dan kedaulatan negara perlu digalas secara bersama.

“Di pihak MINDEF kita menyediakan RM6 juta bagi pelaksanaan projek fizikal umpamanya seperti baik pulih surau, balai raya dan lain-lain yang mana impaknya bukan sahaja boleh dirasai, malah dapat dilihat dan kekal.

“Pada masa sama, kita juga mengalu-alukan Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan bagi melaksanakan program sama ada berkonsep sukan, gotong-royong dan lain-lain, di mana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut bersedia untuk terlibat dan menjayakannya bersama masyarakat.

“Kesemua program atau projek yang menjurus atau menyokong ke arah matlamat HANRUH seperti yang dilakukan Kerajaan Negeri Melaka amat kita sambut baik kerana ia secara tidak langsung dapat memperkasa kerjasama awam dan tentera dalam bersama menjaga keamanan dan kedaulatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Jiwa Madani (PJM) Kementerian Pertahanan Tahun 2026 di Masjid An-Najwan, Cheng, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali; Panglima Tentera Darat Jeneral Datuk Azhan Md Othman; Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Panglima 3 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad serta lain-lain kenamaan.

Tambah Mohamed Khaled, dalam usaha mempertahankan keamanan dan kedaulatan tanah air, ia bukan hanya tertumpu kepada senjata dan strategi semata-mata, bahkan turut memerlukan kestabilan sosial dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Oleh sebab itu, ujar beliau, program-program yang mendekatkan tentera dan rakyat perlu diperkasakan kerana hubungan itu dapat membantu masyarakat memahami peranan besar dimainkan oleh benteng pertahanan negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

370
Kongsi :
Previous post MINDEF PERUNTUK RM850,000 LAKSANA 17 PROJEK JIWA MADANI DI MELAKA
Next post MAIM BIMBING PASANGAN MUALAF JADI KELUARGA BAHAGIA