Sorting by

×

PENGLIBATAN SEMUA KAUM TARIKAN FESTIVAL KUIH TRADISIONAL AIDILFITRI TAHUN KE-5

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SUNGAI RAMBAI 27 Januari – Penganjuran Festival Kuih Tradisional Aidilfitri, Pelita Raya dan Bubur Lambuk Peringkat Negeri Melaka yang memasuki tahun kelima bakal berlangsung lebih meriah dengan penglibatan masyarakat pelbagai kaum.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abdul Azis berkata, pembabitan masyarakat berbilang bangsa itu antara keunikan penganjuran pada tahun ini.

Beliau berkata, festival tahunan itu dijadualkan berlangsung pada 14 Mac depan bertempat di Dataran Riverside Sungai Rambai dan bakal disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“Selain dodol, kita bercadang untuk sediakan pelbagai jenis kuih tradisional bukan Melayu yang menjadi kegemaran ramai di negara ini. Jadi diharapkan wakil semua kaum tampil untuk bersama-sama memeriahkan penganjuran festival bagi tahun 2026.

“Bagi kuih tradisional empat kuih ditetapkan iaitu kuih lidah buaya, bangkit pekak, kuih ros dan baulu cermai manakala untuk dodol pula kita hadkan tidak melebihi 30 kawah.

“Malah pada kali ini syarat penganjuran ditambah baik dan agak ketat selain peserta juga perlu mengenakan busana tradisional,” katanya beliau yang juga Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Pelaksanaan Penganjuran Festival Kuih Tradisional Aidilfitri, Pelita Raya dan Bubur Lambuk Peringkat Negeri Melaka 2026 di Japerun Sungai Rambai, hari ini.

Menurut Siti Faizah, bagi pertandingan hiasan pelita raya pula, setiap kampung yang bertanding akan melalui dua kali proses penjurian merangkumi beberapa aspek yang ditetapkan.

“Selain itu, setiap agensi terlibat juga akan ditetapkan lokasi tertentu atau persimpangan untuk mereka hias, sekali gus mengindahkan suasana pada waktu malam khususnya,” katanya.

Jelasnya, penganjuran kali ini turut membabitkan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Melaka, bersempena Tahun Melawat Melaka 2.0 dan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

313
Kongsi :
Previous post GANJARAN UMRAH JADI MOTIVASI YANA BURU EMAS KEJOHANAN DUNIA
Next post KOMITMEN MELAKA ANJUR PIDATO RUKUN NEGARA TERIMA PENGIKTIRAFAN