Sorting by

×

MELAKA BAKAL JADI PUSAT PENYELIDIKAN BENIH TANAMAN PERTAMA NEGARA

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER KEROH 1 Februari – Melaka berpotensi menjadi lokasi pusat penyelidikan dan pengeluaran benih tanaman pertama negara apabila sebuah syarikat dari China menyatakan hasrat menubuhkan pusat kajian benih di negeri ini.

Kerjasama itu bertitik tolak menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Syarikat Pembangunan Pertanian Melaka Sdn Bhd bersama Shennong Seed Industry (Shanxi) Co Ltd, anak syarikat Shennong Technology Group Co Ltd di China pada 26 Januari lalu.

Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Low Chee Leong berkata, jalinan kerjasama menerusi MoU itu merupakan satu langkah awal sebelum pelaksanaan projek secara menyeluruh.

Menurutnya, kerja-kerja awalan termasuk kajian kebolehlaksanaan akan dilaksanakan melibatkan aspek nilai pelaburan, pematuhan regulatori serta undang-undang sedia ada.

“Sekiranya projek ini berjaya direalisasikan, ia mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap import biji benih dari luar negara, sekali gus memberi manfaat besar kepada sektor pertanian tempatan.

“Penghasilan benih secara tempatan bukan sahaja membantu petani dari segi kos dan bekalan, malah mengurangkan kebergantungan kepada negara luar untuk mendapatkan sumber benih.

“Pastinya petani tempatan akan menjadi penerima manfaat utama melalui akses kepada benih berkualiti, teknologi moden serta sokongan kepakaran,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Chee Leong memaklumkan, mekanisme pemantauan bersama akan diwujudkan bagi memastikan kerjasama tersebut dilaksanakan mengikut perancangan, memandangkan MoU hanyalah peringkat awal sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

Terdahulu, Chee Leong menyertai delegasi Kerajaan Negeri Melaka ke Ibu Pejabat Shennong Technology Group di Wilayah Shanxi, China pada 26 Januari 2026 bagi meneroka potensi kerjasama dalam bidang pertanian moden dan keterjaminan makanan.

Kerjasama itu merangkumi penerokaan dalam penghasilan biji benih, pertanian pintar, perkongsian data dan teknologi pertanian moden serta latihan dan pembangunan kapasiti sumber manusia dalam sektor pertanian.

Hadir sama pada sesi MoU tersebut Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Wira Lim Ban Hong dan Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

965
Kongsi :
Previous post MELAKA REKOD 20 KEBAKARAN TERBUKA DALAM SEHARI
Next post MELAKA SASAR REALISASI PUSAT KECEMERLANGAN TVET TAHUN INI