Sorting by

×

MBMB KUMPUL LEBIH 14 TAN BARANG KITAR SEMULA

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

AYER KEROH 2 Februari – Lebih 14,000 kilogram barangan kitar semula berjaya dikumpul menerusi Program Anda Kitar, Kami Bayar (AKKB) yang dianjurkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), pada Sabtu.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata, program bermula sejak 2023 itu sering mendapat sambutan cukup memberangsangkan dalam kalangan warga bandaraya.

Jelas beliau, kesemua barangan kitar semula yang berjaya dikumpul itu bersamaan dengan janaan ekonomi kitaran berjumlah RM15,877.15.

“Aktiviti kitar semula ini melibatkan pelbagai jenis barangan antaranya minyak masak terpakai, fabrik, peralatan elektrik dan botol plastik termasuk sisa makanan,” katanya.

Menurut Shadan, daripada jumlah keseluruhan kutipan tersebut, minyak masak terpakai mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 4,341 kilogram dengan nilai RM13,023, diikuti barangan 3R sebanyak 4,930 kilogram bernilai RM1,559.25.

“Selain itu, kutipan e-waste merekodkan 1,857 kilogram dengan nilai RM557.10, manakala fabrik sebanyak 2,824 kilogram bernilai RM141.20.

“Turut dikumpulkan ialah pemuliaan al-Quran seberat 62 kilogram, tetrapak dan botol kaca sebanyak 588 kilogram serta sisa makanan seberat 86 kilogram,” katanya.

Jelas beliau, pelaksanaan program itu secara tidak langsung menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) antaranya Matlamat 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan), Matlamat 6 (Air Bersih dan Sanitasi), Matlamat 11 (Bandar dan Komuniti Lestari), Matlamat 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) serta Matlamat 13 (Tindakan Iklim).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

486
Kongsi :
Previous post MELAKA MAKSIMUMKAN URUSAN PENTADBIRAN SECARA DIGITAL
Next post SISTEM PENGURUSAN DATA: STRATEGI TRANSFORMASI DIGITAL MCORP