
BUDAYAKAN KONSEP AMBIL TAHU, CAKNA MASALAH RAKYAT
SERI NEGERI 2 Februari – Penganjuran program berorientasikan kepada rakyat secara langsung seperti Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Hari Bertemu Pelanggan mestilah dilaksanakan dengan lebih baik serta berfokus agar aspirasi untuk merakyatkan perkhidmatan awam terlaksana.
Dalam menyantuni rakyat dengan sebaiknya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad mahu semua penjawat awam menghayati konsep ‘no wrong door policy’ dan mengamalkan sikap ambil tahu.
“Jika kita menerima kunjungan rakyat yang mahu mendapatkan perkhidmatan namun mungkin bukan pada tempatnya, kita harus membantu mereka dengan menunjukkan saluran dan jalur yang betul.
“Untuk rekod bagi tahun 2025, sebanyak 17,393 aduan awam direkodkan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) Negeri Melaka dan telah diselesaikan sebanyak 92 peratus. Program Hari EXCO Bersama Rakyat (HEBAT) pada 2025 menerima 621 aduan dan sebanyak 81 peratus telah berjaya diselesaikan.
“Begitu juga pada Program WRUR telah menerima 2,245 aduan dan sebanyak 81 peratus telah diselesaikan. Baki aduan ini hendaklah diteliti dan diselesaikan secepat mungkin oleh jabatan dan agensi yang berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat YB Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Tahun Baharu 2025 bertemakan Melaksanakan Amanah, Memacu Reformasi di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, Datuk Khairul Azreem Mamat, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh, ketua-ketua jabatan negeri serta persekutuan.
Sementara itu bagi memastikan setiap pembangunan memberikan manfaat kepada rakyat Azhar mahu semua program atau projek diperkukuh, diperhebat dan dipantau dengan teliti.
“Projek pembangunan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) Negeri Melaka mesti dibuat pemantauan yang rapi.
“Penggunaan Sistem Melaka Monitor, pemantauan di tapak projek, sesi healthcheck, intervensi dan kaedah-kaedah pemantauan yang bersesuaian harus dilaksanakan dengan lebih proaktif,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


