
MELAKA MAKSIMUMKAN URUSAN PENTADBIRAN SECARA DIGITAL
SERI NEGERI 2 Februari – Sesuai dengan perkembangan teknologi semasa, Kerajaan Negeri Melaka akan memaksimumkan urusan pentadbiran rasmi secara digital.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad berkata sehubungan itu semua urusan Kerajaan Negeri harus dilaksanakan secara dalam talian dan bersifat ‘paperless’.
Katanya, pentadbiran secara digital turut merangkumi mesyuarat tanpa kertas serta edaran memo secara elektronik kecuali dokumen-dokumen teperingkat yang berkaitan dengan isu keselamatan.
“Dalam memenuhi keperluan teknologi semasa dan kepantasan dalam mendapatkan perkhidmatan kerajaan, penggunaan teknologi kecerdasan buatan atau ‘artificial intelligence’ (AI) harus diperhebatkan pada semua peringkat. Contoh penggunaan chatbot di laman sesawang jabatan.
“Mendasari islah yang sedang kita laksanakan ini ialah ‘payung besar’ Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang antara lainnya menekankan soal Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat YB Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Tahun Baharu 2025 bertemakan Melaksanakan Amanah, Memacu Reformasi di Auditorium Seri Negeri, di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, Datuk Khairul Azreem Mamat, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh, ketua jabatan negeri serta persekutuan.

Menurut beliau, melalui pelaksanaan RKB, Negeri Melaka berjaya melaksanakan penjimatan sebanyak RM13.5 juta pada 2025 selain mempercepatkan urusan kerajaan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Saya ingin mengulangi seruan Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh bahawa RKB mesti diterjemahkan kepada perubahan dalam cara bekerja, proses yang lebih ringkas, keputusan yang lebih pantas dan hasil yang boleh dirasai rakyat.
“Justeru, semua ketua jabatan harus memastikan segala prosedur dan proses sedia ada disemak dan ditambah baik secara berterusan.
“Bagi tahun 2026, saya mahu setiap jabatan di Negeri Melaka mencadangkan projek RKB yang mempunyai nilai tambah kepada penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


