Sorting by

×

MELAKA NYATA KESEDIAAN ANJUR HARI TVET NEGARA 2026

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 3 Februari – Melaka menyatakan kesediaan untuk sekali lagi menjadi tuan rumah Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2026, selari dengan usaha memperkasa ekosistem keusahawanan TVET peringkat negeri serta kebangsaan.

Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, hasrat itu merupakan kesinambungan kejayaan penganjuran Hari TVET Negara yang telah berlangsung di Melaka tahun lalu.

Menurutnya, fokus utama Kerajaan Negeri kini adalah untuk melahirkan lebih ramai usahawan TVET, bukan sekadar tenaga kerja mahir tetapi golongan yang mampu berdikari serta menjadi majikan.

“Fokus seterusnya adalah kepada usahawan TVET. Kita mahu mengembangkan bakat dalam kalangan pelajar dan graduan TVET supaya mereka bukan hanya bekerja dengan orang lain, sebaliknya mampu membina perniagaan sendiri.

“Kita turut membuka ruang dan peluang kepada golongan TVET untuk mendapatkan sokongan termasuk akses kepada dana serta pelbagai saluran pembiayaan bagi mengembangkan atau memulakan perniagaan baharu.

“Bidang TVET ini sangat luas merangkumi elektronik, automotif, jahitan, kulinari dan banyak lagi. Semua bidang ini berpotensi untuk dikembangkan sehingga mampu melahirkan lebih banyak produk tempatan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Khaidhirah berkata, Melaka bersedia membuka pintu seluas-luasnya sekiranya Majlis TVET Negara memilih negeri ini sekali lagi sebagai destinasi penganjuran Hari TVET Negara peringkat kebangsaan pada tahun 2026.

“Fokus kita jelas iaitu untuk melahirkan lebih ramai usahawan TVET serta menjadikan Melaka sebagai hab pembangunan TVET yang mampan,” katanya.

Untuk rekod, Sambutan Hari TVET Negara 2025 telah diadakan selama tiga hari iaitu dari 11 hingga 13 Jun 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

480
Kongsi :
Previous post DUA SIRI ‘HEBAT’, 92.7 PERATUS ADUAN DISELESAIKAN
Next post KEMATIAN AKIBAT KEBAKARAN DI MELAKA MENINGKAT