
GELANGGANG BOLA JARING DINAIK TARAF, PERKASA SUKAN KOMUNITI KAMPUNG GADEK
GADEK 3 Februari – Penduduk Kampung Gadek kini boleh menikmati aktiviti sukan dengan lebih selesa apabila gelanggang bola jaring di kawasan tersebut siap dinaik taraf sepenuhnya dan tampil dengan wajah baharu yang lebih kemas serta menarik.
Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam berkata, projek naik taraf tersebut melibatkan kerja-kerja penandaan garisan (lining) gelanggang yang dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan orang ramai.
Katanya, naik taraf gelanggang berkenaan dilaksanakan menerusi peruntukan berjumlah RM30,000 daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) sebagai usaha memperkasa kemudahan sukan komuniti di peringkat akar umbi.
“Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) bertanggungjawab melaksanakan projek tersebut dan berjaya menyiapkannya dalam tempoh singkat dengan pelaksanaan kerja yang teratur.
“Penduduk setempat, khususnya golongan belia dan komuniti diharapkan dapat memastikan kemudahan itu dapat dimanfaatkan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasminya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek berkata gelanggang yang telah dinaik taraf itu bukan sahaja menceriakan kawasan persekitaran, malah berpotensi menjadi pusat aktiviti riadah dan sukan yang mampu mengeratkan hubungan komuniti setempat.
“Saya berharap kemudahan ini tidak terbiar atau sekadar menjadi perhiasan, sebaliknya digunakan secara aktif untuk penganjuran aktiviti sukan, latihan dan perlawanan persahabatan.
“Penduduk Kampung Gadek digalak memanfaatkan kemudahan gelanggang ini dengan mengadakan aktiviti sukan secara berterusan bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


