Sorting by

×

PEKERJA KILANG MAUT SELEPAS HANTAR ISTERI KE TEMPAT KERJA

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

DUYONG 3 Februari – Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang mengubah laluan secara mengejut di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Taman Semabok Perdana, di sini, pagi tadi.

Dalam kemalangan pada jam 8.35 pagi itu, Nur Hafiz Mizal, 20 yang bekerja di sebuah kilang di Batu Berendam maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian, kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandu oleh wanita berusia 37 tahun dan motosikal mangsa dalam perjalanan dari arah lampu isyarat Bukit Piatu.

Katanya, mangsa pada ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah di Duyong selepas menghantar isterinya yang bekerja di Tengkera.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu MPV jenis Perodua Alza dipercayai mengubah haluan secara mengejut ke laluan kiri.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa dari arah belakang kiri tidak sempat mengelak sebelum melanggar bahagian hadapan kiri kenderaan berkenaan.

“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Christopher berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat.

“Tiada rakaman kamera papan pemuka (dashcam) daripada kenderaan terlibat diperoleh setakat ini dan pihak polis masih mengesan saksi bebas di lokasi kejadian.

“Kedua-dua kenderaan terlibat juga telah ditahan untuk pemeriksaan Puspakom,” katanya.

Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

627
Kongsi :
Previous post MENARA TAMING SARI ‘BELANJA’ 18 PENGUNJUNG
Next post 476 KELUARGA ASNAF TELOK MAS TERIMA SUMBANGAN RAMADAN, SYAWAL