
ZAHARI BERI PERHATIAN SERIUS ISU KESELAMATAN LALUAN DI PADANG KELADI
DURIAN TUNGGAL 6 Februari – Menambah baik aspek pencahayaan bagi laluan di Kampung Padang Keladi antara langkah segera bakal dilaksanakan susulan kemalangan jalan raya melibatkan seorang pelajar universiti pada 19 Januari lalu.
Perkara itu adalah hasil sesi libat urus dan lawatan ke lokasi pada 22 Januari lalu bertujuan meneliti isu keselamatan di laluan, sekali gus mengenal pasti langkah pencegahan boleh dilaksanakan.
Timbalan Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Zahari Abd Kalil berkata, hasil perbincangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan melakukan pemantauan berkala berhubung isu babi hutan di kawasan berkenaan termasuk operasi menembak dari semasa ke semasa.
“Sementara itu Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Alor Gajah pula akan mengkaji keperluan menambah lampu jalan bagi meningkatkan tahap pencahayaan dan keselamatan.
“Manakala Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) akan mengenal pasti pokok-pokok yang perlu dicantas atau ditebang, agar tidak menghalang pemandangan pengguna jalan raya atau cahaya lampu,” katanya.
Sesi berkenaan melibatkan kerjasama beberapa agensi berkaitan termasuk JKR Alor Gajah (Elektrik), PERHILITAN, MPHTJ, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Padang Keladi serta Pegawai Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Muhammad Zulaqmar Zainudin.
Zahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal berkata, keselamatan pengguna jalan raya dan penduduk setempat perlu diberi perhatian serius terutama di kawasan berisiko melibatkan hidupan liar.
“Tindakan susulan akan terus dipantau bagi memastikan langkah pencegahan dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


