Sorting by

×

LALUAN PLAZA TOL SIMPANG AMPAT DINAIK TARAF KEPADA EMPAT LORONG

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

DURIAN TUNGGAL 10 Februari – Jalan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning akan dinaik taraf kepada empat lorong bagi melancarkan pergerakan kenderaan keluar masuk ke negeri ini.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, langkah itu bagi menguraikan kesesakan trafik di kawasan tersebut.

Katanya, projek pelebaran jalan terbabit daripada dua kepada empat lorong itu bakal menelan belanja hampir RM21 juta.

“Projek pelebaran jalan ini dijangka akan melebarkan jalan dari satu lorong kepada dua lorong untuk satu arah, menjadikannya empat lorong, di mana bukan musim perayaan sahaja kawasan ini sesak, pada hari biasa waktu puncak lokasi ini turut padat.

“Tender projek pelebaran jalan ini telah dibuka dan dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2027 nanti,” jelasnya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan pemantauan paras air di Empangan Durian Tunggal, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Datuk Mohd Saleh Jusman; Pengarah Badan Kawal Selia Air (BKSA), Azizul Adzran Mahmor serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Hameed berkata penambahbaikan bagi projek terbabit telah diangkat ke pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan telah diluluskan pada hujung tahun lalu.

“Pelebaran laluan ini akan membabitkan kawasan selepas lampu isyarat terakhir menuju ke Plaza Tol Simpang Ampat dari arah Bandar Melaka.

“Kawasan ini telah menerima pelbagai aduan kerana ia turut menjadi laluan kenderaan berat, jadi permohonan Kerajaan Negeri melebarkan laluan ini dengan menaik taraf penambahan lorong diharapkan dapat menguraikan kesesakan trafik dalam DUN Taboh Naning itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

537
Kongsi :
Previous post PPSPM, SEKTOR PERHOTELAN JALIN KOLABORASI TAWAR PAKEJ MENARIK
Next post MAIM PELAWA SAUDARA MUSLIM BAHARU SERTAI KHATAM AL-QURAN RAMADAN