
SISTEM MYASNAF JAMIN KETELUSAN BANTUAN MAKANAN BULANAN MAIM
TELOK MAS 12 Februari – Sistem MyAsnaf yang dibangunkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan terus diperkasakan bagi memudahkan golongan asnaf di negeri ini mendapatkan bantuan makanan bulanan.
Lebih membanggakan sistem itu menerima pengiktirafan menerusi sijil penghargaan H.E.M.A.T daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) sebagai antara inisiatif yang telah menambah baik penyampaian perkhidmatan awam.
Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, sistem yang dibangunkan pada tahun 2024 itu memberi manfaat kepada semua pihak sekali gus dapat menyalurkan bantuan secara lebih telus dan terkawal.
Katanya, menerusi sistem tersebut, ia membolehkan asnaf membeli barangan keperluan asas di lebih 70 kedai panel MAIM di seluruh negeri ini.
“Sistem ini dibangunkan untuk menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf secara jujur dan telus, di mana setiap asnaf boleh mendapatkan bantuan bekalan makanan seperti barangan asas dengan hanya menggunakan kad pengenalan mereka.
“Lebih 70 panel kedai yang bekerjasama dengan MAIM dalam negeri ini yang mana jika kita dapati golongan asnaf ini lebih ramai di satu-satu lokaliti maka bilangan kedai panel di situ akan ditambah jumlahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Majlis Pengagihan Bantuan Persediaan Ramadan dan Syawal (Zakat Fitrah & Fidyah) Kepada Asnaf Fakir Serta Fakir Miskin MAIM Tahun 2026/1447H Peringkat DUN Telok Mas di Dewan Komuniti KEMAS Telok Mas, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Shaifulfazlee berkata, penggunaan sistem itu membolehkan kawalan dilakukan terhadap barangan yang dibeli.
Jelasnya, golongan asnaf dilarang sama sekali menggunakan kelebihan yang diberi ini untuk membeli barangan selain makanan asas.
“Sistem ini juga dapat membantu MAIM menyelia barangan yang dibeli golongan asnaf di kedai-kedai panel.
“Perkara ini berikutan untuk mengelakkan bantuan disalah guna, termasuk larangan pembelian rokok dan barangan tidak perlu.
“Asnaf fakir layak menerima bantuan bernilai RM400 sebulan manakala asnaf miskin RM300 sebulan untuk pembelian barangan asas seperti beras, gula dan keperluan dapur,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


