
PERCUTIAN NOSTALGIA RUMAH KAMPUNG TENGAH BANDAR
KOTA LAKSAMANA 12 Februari – Mahu merasai pengalaman bercuti sambil mengimbau nostalgia menginap di rumah tradisional, namun mahukan lokasinya berada di tengah bandar Melaka?
Jangan risau, Perbadanan Ketua Menteri (CMI) telah menyediakan lokasi penginapan paling ideal untuk anda dan keluarga di Villa CMI @ Kampung Morten.
Terletak di satu-satunya kampung tradisional yang berada di tengah bandar di negeri bersejarah ini, villa berkenaan pastinya mampu membawa penginap merasai pengalaman percutian penuh nostalgia dalam suasana moden.
Menurut CMI, villa berkenaan dilengkapi sembilan bilik tidur dengan harga serendah RM200 hingga RM250 sahaja untuk satu malam, di mana ia turut lengkap dengan pelbagai kemudahan buat penginapnya.
Antara fasiliti yang disediakan adalah seperti dapur, balkoni, polong atau ruang bawah rumah, parkir yang luas serta lain-lain lagi.

Istimewanya, penginap juga dapat menikmati suasana tenang yang dikelilingi pemandangan menarik, memandangkan villa berkenaan juga terletak berhampiran Sungai Melaka.
Antara tarikan pelancongan berhampiran adalah seperti Melaka River Cruise, Morten Walk, malah ia juga tidak jauh dengan kawasan tumpuan pelancong di Banda Hilir yang boleh diakses dengan hanya berjalan kaki sambil menikmati suasana malam yang menarik.
Jadi, kepada mereka yang berminat untuk menginap sambil mengimbau kenangan lama, bolehlah menghubungi Bahagian Pemasaran CMI di talian 016-4576641.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


