
MPHTJ RAIH 27 ANUGERAH BANDAR RENDAH KARBON 2025
AYER KEROH 12 Februari – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menerima Anugerah Khas sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) ‘Paling Lama Terlibat Dengan Low Carbon Cities Framework (LCCF)’ pada Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2025 di Putrajaya, hari ini.
Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, pengiktirafan tersebut diterima bersama 26 anugerah pelbagai kategori lain membabitkan dua kategori zon dan 24 kategori rakan kongsi.
Katanya, untuk anugerah membabitkan zon dan rakan kongsi, MPHTJ telah menerima 4 Diamond Rating Award bagi kedua-dua kategori membabitkan Zon Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dan Kompleks Melaka Mall.
“Manakala bagi Anugerah Khas yang diterima adalah disebabkan MPHTJ konsisten menjayakan agenda perbandaran rendah karbon bermula 2012 sehingga kini.
“MPHTJ merupakan PBT perintis yang menyahut cabaran program berkenaan apabila menjadi antara yang terawal menyertainya dan diberikan status ‘pilot partner’ pada peringkat awal pelaksanaan dan sehingga kini.
“Bermula dengan hanya satu zon atau rakan kongsi, kini MPHTJ mempunyai lebih 30 zon atau rakan kongsi rendah karbon dan jumlah itu dijangka terus meningkat susulan sesi libat urus serta tahap kesedaran awam yang semakin bertambah baik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurut Sapiah, sepanjang 14 tahun, MPHTJ bukan sahaja membangunkan zon rendah karbon dalam kawasan pentadbirannya, malah turut membantu PBT lain di seluruh negara.
Jelasnya, MPHTJ turut berkongsi pengalaman dan memberi tunjuk ajar menerusi program peningkatan kapasiti serta pelaksanaan agenda bandar rendah karbon.
“MPHTJ juga memperkasakan modal insan melalui pembudayaan amalan rendah karbon dalam kalangan warga kerja dan komuniti, selain melahirkan kumpulan pakar rujuk atau ‘subject matter expert’ (SME) dalam bidang berkaitan.
“Penglibatan aktif ini turut membuka ruang kepada MPHTJ untuk berada di pentas antarabangsa dalam agenda menangani perubahan iklim, termasuk menduduki kerusi Jawatankuasa ICLEI Global Executive Committee (ICLEI GEXCOM) serta berkongsi amalan terbaik di pelbagai platform global.
“Pengiktirafan ini membuktikan komitmen berterusan MPHTJ dalam merealisasikan agenda pembangunan mampan dan menangani isu perubahan iklim secara sistematik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


