
POLIS MELAKA TERIMA 135 PEMAKLUMAN BALIK KAMPUNG
AYER KEROH 13 Februari – Polis Melaka menerima sebanyak 135 pemakluman balik kampung melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) setakat ini sempena pelaksanaan Op Selamat 25 Tahun Baharu Cina 2026 bermula 15 hingga 20 Februari ini.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mokhtar berkata, orang ramai yang meninggalkan kediaman dalam tempoh perayaan digesa memaklumkan kepada pihak polis bagi membolehkan pemantauan dan rondaan dilakukan secara berjadual.
Katanya, kerjasama orang ramai yang tiada di rumah susulan cuti panjang di Melaka diperlukan dengan melaporkan ketiadaan di rumah menerusi VSP atau balai polis berhampiran.
“Sepanjang operasi ini, seramai 162 pegawai dan anggota pelbagai jabatan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan digerakkan sepanjang tempoh operasi.
“Penugasan ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada keselamatan jalan raya, malah merangkumi rondaan di kawasan perumahan melalui anggota balai, kereta peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi memastikan rumah yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Program Advokasi Op Selamat 25 di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini, semalam.
Hadir sama Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman; Ketua Bahagian Pencegahan Perubatan dan Pemulihan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Dr Azlan Darus; Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Siti Zarina Mohd Yusop dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohd Zaidi Ma’at.
Dzulkhairi turut mengingatkan orang ramai supaya memastikan pintu dan tingkap dikunci dengan sempurna serta mengelakkan daripada berkongsi tempoh ketiadaan di media sosial secara terbuka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


