Sorting by

×

JALAN BAHARU JIMATKAN MASA PEMANDUAN, RANCAKKAN EKONOMI SETEMPAT

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

RIM 13 Februari – Pembukaan jalan baharu sepanjang 3.45 kilometer dari Persimpangan Rim ke Persimpangan Kampung Ulu Jasin bukan sahaja memendekkan masa perjalanan ke Pekan dan Tol Jasin, malah merancakkan aktiviti ekonomi setempat, sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sebelum ini perjalanan ke Tol Jasin mengambil masa kira-kira 30 minit, namun kini cuma lima minit menggunakan laluan baharu itu.

“Jalan ini menjimatkan masa, mengurangkan kos perjalanan dan tekanan pengguna jalan raya. Ia juga membuka akses lebih pantas kepada kawasan perindustrian, pertanian dan pelancongan sekitar Jasin, sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Projek Membina Jalan Baharu Dari Persimpangan Rim ke Persimpangan Kampung Ulu Jasin di Perkarangan Tapak Projek Persimpangan Kerayong, Daerah Jasin, di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mtyheen Kunju Basheer; Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta kenamaan lain.

Menurut Ab Rauf, projek ini melibatkan peruntukan RM35.2 juta termasuk pembinaan jambatan sepanjang 60 meter yang merupakan jambatan ‘single-span’ terpanjang di Negeri Melaka.

“Terima kasih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang bersama-sama merealisasikan projek ini.

“Pembukaan jalan baharu ini adalah manifestasi komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan pembangunan infrastruktur bukan sahaja memudahkan urusan rakyat, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan kualiti hidup masyarakat setempat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

543
Kongsi :
Previous post PENIAGA DIINGATKAN SUPAYA PATUH SHMMP
Next post MELAKA SIAPKAN LIMA JALAN BAHARU SEPANJANG TIGA TAHUN UNTUK KESELESAAN RAKYAT