
PENDUDUK SYUKUR JALAN BAHARU PERMUDAH AKSES HARIAN
RIM 15 Februari – Penduduk sekitar Simpang Kerayong dan Kampung Chinchin menyambut baik pembinaan jalan baharu menghubungkan Persimpangan Rim ke Persimpangan Kampung Ulu Jasin yang memudahkan akses harian mereka ke kawasan berhampiran.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Simpang Kerayong Nor Hisham Mohamad berkata, pelaksanaan projek itu disifatkan sebagai memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.
Menurutnya, sebelum ini penduduk yang ingin ke Pekan Jasin terpaksa melalui laluan lebih jauh dan sering berdepan kesesakan terutamanya pada waktu puncak.
“Dengan adanya jalan baharu ini, ia akan memudahkan akses dari Tol Jasin hingga ke Nyalas.
“Bagi pihak penduduk Simpang Kerayong, kami amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri atas keprihatinan ini khususnya Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
“Projek ini bukan sahaja memendekkan perjalanan, malah dijangka merancakkan pembangunan kawasan sekitar. Penduduk juga lebih mudah untuk ke kebun masing-masing,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh telah merasmikan Projek Membina Jalan Baharu Dari Persimpangan Rim ke Persimpangan Kampung Ulu Jasin di Perkarangan Tapak Projek Persimpangan Kerayong, Daerah Jasin, di sini, pada Jumaat.
Sementara itu Pengerusi JPKK Kampung Chinchin Jasmi Kepol berkata, pembinaan jalan tersebut amat dinantikan penduduk kerana ia menyediakan laluan alternatif sekiranya berlaku kesesakan di jalan utama.
“Penduduk di sini memang perlukan jalan baharu ini. Selain memendekkan perjalanan, ia juga memberi kemudahan kepada semua masyarakat. Kami rasa lega dan bersyukur projek ini akhirnya dapat direalisasikan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


