
‘DEMI PAYA RUMPUT’ LAMBANG MELAKA SAYANG RAKYAT
PAYA RUMPUT 14 Februari – Penganjuran Karnival Demi Paya Rumput menjadi lambang kasih sayang, kebersamaan dan komitmen pemimpin terhadap rakyat selaras dengan tekad Melaka Sayang Rakyat (MESRA).
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu juga menjadi cerminan bahawa pemimpin yang datang daripada rakyat, mengembalikan semula perkhidmatan demi manfaat rakyat.
Jelas beliau, penganjuran karnival seumpamanya juga dapat menjadi jambatan yang merapatkan hubungan antara kepimpinan dan rakyat, selaras dengan tekad kerajaan negeri yang meletakkan rakyat sebagai keutamaan.
“Maka, selayaknya setinggi-tinggi tahniah kepada YB Datuk Rais Yasin serta seluruh kepimpinan Paya Rumput, karnival ini difahamkan telah berjaya memberi manfaat secara langsung kepada hampir 25,000 warga Paya Rumput melalui pelbagai inisiatif, bantuan dan program yang dilaksanakan.
“Paling utama, setulus penghargaan turut saya zahirkan kepada semua jabatan dan agensi kerajaan, JAPERUN, para petugas, sukarelawan yang bekerja siang dan malam, serta seluruh warga Paya Rumput yang telah berganding bahu mewarnai dan menjayakan karnival ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Demi Paya Rumput di perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.
Turut bersama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Adun Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ketua Menteri, sepanjang lapan hari penganjurannya, karnival berkenaan telah menjelajah segenap pelusuk kawasan Paya Rumput dengan 101 program yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan rakyat.
Jelas beliau, ia termasuklah dalam sudut kerohanian, keilmuan, sukan hinggalah kepada inisiatif kebajikan yang menyantuni mereka yang memerlukan, selain turut membuka ruang kepada rakyat untuk menyuarakan sendiri permasalahan mereka.
“Alhamdulillah, sebanyak 24 aduan telah diterima melibatkan pelbagai isu setempat dan kesemuanya kini telah pun diambil tindakan serta disalurkan kepada agensi berkaitan untuk penyelesaian segera.
“Sebagai Ketua Menteri, saya sentiasa mengingatkan agar pentadbiran hari ini memegang prinsip setiap suara rakyat mesti didengari, setiap harapan jangan diketepikan dan setiap janji mesti ditunaikan, sejajar tekad Melaka Sayang Rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


