Sorting by

×

PAYA RUMPUT SEDIA AKSES PENDIDIKAN BERKUALITI

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

PAYA RUMPUT 14 Februari – Menyedia akses pendidikan berkualiti menjadi antara pencapaian utama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pendidikan merupakan antara agenda penting bagi pembangunan sesebuah negeri dan kawasan, memandangkan ia merupakan satu ‘pelaburan’ demi generasi masa hadapan.

Menurut beliau di bawah kepimpinan Datuk Rais Yasin selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, beberapa pembangunan infrastruktur penting telah berjaya direalisasikan demi menjamin anak-anak Paya Rumput mendapat pendidikan berkualiti.

“Antaranya adalah menerusi pembangunan tiga buah sekolah baharu, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong, Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong 2 dan SMK Tanjung Minyak.

“Pada masa sama, pendidikan awal kanak-kanak turut diberi perhatian serius melalui peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), iaitu Tabika KEMAS Berkembar di Taman Krubong Jaya yang akan dibina dengan kos RM2.1 juta.

“Selain itu, kerja-kerja pembinaan bangunan baharu enam bilik darjah Sekolah Rendah Agama JAIM Tampoi juga sedang giat dilaksanakan dengan kos RM3.68 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada September tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Demi Paya Rumput di perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Turut bersama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Adun Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf memaklumkan, lebih utama DUN Paya Rumput juga bakal menjadi pelopor kepada pemerkasaan kebajikan pendidikan anak-anak dengan melancarkan Tabung Amal Pendidikan Anak Paya Rumput.

Jelas beliau, pelancaran tabung amal pendidikan itu merupakan satu inisiatif murni yang bakal membawa manfaat besar kepada pewaris masa depan DUN Paya Rumput.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

290
Kongsi :
Previous post RUMAH PRR UNTUK B40 BAKAL DIBINA DI TAMAN PAYA EMAS
Next post SYIAR ISLAM SUBUR DI PAYA RUMPUT