
RAIS BERJAYA TUNAI 8 AKU JANJI DEMI PAYA RUMPUT
PAYA RUMPUT 14 Februari – Dalam tempoh lebih empat tahun berkhidmat wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin telah berjaya menunaikan kesemua lapan aku janjinya kepada rakyat di kawasan itu.
Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, lapan aku janji itu merupakan antara yang ditawarkan kepada rakyat sewaktu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun 2021 yang lalu.
Jelas beliau, lapan aku janji itu merangkumi penyelesaian isu banjir; pemerkasaan ekonomi rakyat; peningkatan taraf pendidikan; capaian dan kelajuan internet; skim perumahan kos rendah; menaik taraf infrastruktur masjid; kemudahan mobilisasi kesihatan dan keselamatan serta kesejahteraan rakyat.
Bagi aku janji pertama, Rais memaklumkan DUN Paya Rumput merupakan antara kawasan yang telah lama berdepan masalah banjir, yang sebahagian besarnya berpunca daripada isu perbandaran.
Justeru, katanya, usaha merealisasikan masalah itu berjaya diselesaikan dengan pembinaan projek Empangan Durian Tunggal–Krubong bernilai RM680 juta telah dimulakan dan dijangka mampu menyelesaikan masalah banjir yang menjejaskan hampir 10,000 penduduk.
Selain itu, katanya, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) juga telah meluluskan peruntukan RM6 juta bagi pembinaan kolam takungan banjir di Taman Rambai Utama yang telah dibelenggu isu banjir hampir 20 tahun.
“Manifesto kedua saya ialah memperkukuhkan ekonomi rakyat DUN Paya Rumput. Antara inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk penganjuran Uptown Paya Rumput di Perkarangan Stadium Hang Jebat; penyelarasan penjaja di Pusat Penjaja Terbuka MBMB Krubong Jaya, serta pemerkasaan peniaga pasar malam.
“Ketiga, adalah dalam aspek pendidikan, di mana, selain inisiatif tuisten percuma, kita juga berjaya mendapat penambahan sekolah baharu iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong dan Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong 2, selain SMK Tanjung Minyak dan Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Tampoi yang sedang dalam pembinaan.
“Pada masa sama, kebajikan pelajar juga tidak dilupakan apabila setiap tahun saya memberi insentif RM50 kepada semua pelajar yang menduduki peperiksaan SPM, di samping pemberian insentif awal persekolahan RM50 kepada pelajar Tadika JAIM di DUN Paya Rumput,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Demi Paya Rumput yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Adun Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.
Mengulas manifesto keempat iaitu capaian dan kelajuan internet, Rais berkata, usaha itu berjaya direalisasikan dengan pembinaan sebanyak 34 menara telekomunikasi di seluruh DUN Paya Rumput bermula 2021 hingga kini dengan peruntukan berjumlah RM18.3 juta.
Aku janji kelima menjadi antara pencapaian terpenting di mana sebuah lagi Program Perumahan Rakyat (PPR) atau kini dikenali sebagai Program Residensi Rakyat (PRR) telah diluluskan di DUN Paya Rumput yang akan dibina di kawasan Taman Paya Emas.
“Keenam, saya berjanji untuk menaik taraf infrastruktur masjid dan selepas hampir 20 tahun, penduduk Cheng Perdana dan seluruh kariah sekitarnya akhirnya memiliki sebuah masjid baharu, iaitu Masjid Abdul Rahman bin Auf, yang dibina dengan kos RM6.5 juta melalui Pejabat Pembangunan Negeri (ICU).
“Selain itu, masyarakat setempat di kawasan kariah Kampung Paya Rumput turut menerima manfaat hasil pembinaan Kompleks As-Solihin di Masjid As-Solihin, Kampung Paya Rumput, bernilai RM4.2 juta, hasil gabungan sumbangan Pejabat Pembangunan Negeri (ICU), syarikat-syarikat korporat serta infak orang ramai,” katanya.
Dalam aku janji ketujuh, Rais berjaya memperkasa kemudahan mobilisasi kesihatan menerusi perkhidmatan ambulans percuma, di mana ia bukan sahaja dilaksanakan di DUN Paya Rumput, malah ia memberi manfaat kepada seluruh Negeri Melaka hasil inisiatif oleh Ketua Menteri.
Selain itu, ujarnya, pembinaan Klinik Kesihatan Cheng Tahap 3 bernilai RM43 juta juga telah diluluskan bagi memudahkan penduduk mendapatkan rawatan kesihatan di kawasan DUN Paya Rumput tanpa perlu ke Batu Berendam.
“Aku terakhir, adalah aspek keselamatan awam demi kesejahteraan penduduk, di mana sebelum ini di DUN Paya Rumput hanya terdapat sebuah balai polis kecil di kawasan Tanjung Minyak yang dibina sebelum merdeka.
“Alhamdulillah, kini telah diluluskan pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Balai Polis Tanjung Minyak serta perumahan anggota, dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM200 juta,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


