Sorting by

×

RUMAH PRR UNTUK B40 BAKAL DIBINA DI TAMAN PAYA EMAS

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

PAYA RUMPUT 14 Februari – Selepas menerima Program Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput bakal menerima satu lagi projek sama tidak lama lagi.

Ia selepas Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan RM80 juta bagi pembinaan projek perumahan untuk golongan berpendapatan rendah (B40) yang akan dikenali sebagai Program Residensi Rakyat (PRR) Paya Rumput.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, PRR Paya Rumput itu bakal dibangunkan di kawasan Taman Paya Emas, merangkumi sebanyak 280 unit rumah.

“Alhamdulillah, ini merupakan antara manifesto atau aku janji saya untuk menyediakan perumahan baharu kos rendah untuk warga Paya Rumput dan akhirnya ia berjaya direalisasikan.

“Apa yang boleh dimaklumkan adalah kelulusan projek ini telah diterima, namun spesifikasi dan tempoh pembinaan itu kita masih menunggu daripada pihak KPKT.

“Di kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri kerana telah bersama-sama membantu merealisasikan pembinaan satu lagi PPR atau PRR ini di Melaka,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival Demi Paya Rumput yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Adun Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.

Menurut Rais, selain PRR Paya Rumput yang sedang menunggu giliran pembinaan, Melaka bakal memiliki satu lagi program perumahan sama iaitu PRR Bukit Katil yang dijangka akan mula dibina tahun ini.

Jelas beliau, PRR Bukit Katil bakal dilengkapi kira-kira 200 unit kediaman khusus untuk golongan berpendapatan rendah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

354
Kongsi :
Previous post KEBAJIKAN RAKYAT BUKAN AGENDA BERMUSIM – AB RAUF
Next post PAYA RUMPUT SEDIA AKSES PENDIDIKAN BERKUALITI