
PAYA RUMPUT LANCAR TABUNG AMAL PENDIDIKAN
PAYA RUMPUT 14 Februari – Tabung Amal Pendidikan Paya Rumput bakal diperkenalkan sebagai antara usaha memperkasa kebajikan pendidikan anak-anak di kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, tabung amal itu bakal dilancarkan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam bersempena Karnival Demi Paya Rumput.
Jelas beliau, setakat ini, inisiatif itu telah berjaya mengumpul dana berjumlah RM30,000 dan ia dijangka memberi manfaat besar kepada murid dan pelajar di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.
“Menerusi tabung amal inilah kita akan menyediakan pelbagai insentif pendidikan kepada anak-anak Paya Rumput.
“Antaranya, insentif tahunan berjumlah RM50 yang kita berikan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain insentif RM50 sebagai bantuan awal persekolahan untuk anak-anak Tadika JAIM di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival Demi Paya Rumput yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Adun Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.
Menurut Rais, di bawah kepimpinannya, sektor pendidikan DUN Paya Rumput telah berjaya merekodkan beberapa pencapaian penting, antaranya menerusi pembinaan empat sekolah baharu.
Jelas beliau, sehingga kini sebanyak dua buah sekolah baharu telah siap dan beroperasi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong.
Manakala, dua buah sekolah lagi iaitu SMK Tanjung Minyak dan Sekolah Rendah Agama (SRA) JAIM Tampoi sedang dalam pembinaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


