
RAKYAT PAYA RUMPUT BERSYUKUR MILIKI KERAJAAN PRIHATIN
PAYA RUMPUT 14 Februari – Rata-rata rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput meluahkan rasa syukur kerana memiliki Kerajaan Negeri yang sentiasa prihatin dan mendengar denyut nadi rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, itu merupakan antara maklum balas yang diterima sepanjang beliau menjelajah ke segenap pelusuk DUN sempena penganjuran Karnival Demi Paya Rumput yang berlangsung selama lapan hari.
Jelas beliau, gagasan Melaka Sayang Rakyat atau MESRA yang dibawa oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh juga disambut baik warga Paya Rumput yang merupakan sebuah DUN terbesar di Melaka dengan kapasiti penduduk lebih 91,000.
“Alhamdulillah, sepanjang lapan hari karnival ini berlangsung kita dapat bertemu rakyat di segenap pelusuk Paya Rumput dan rata-rata mereka sangat bersyukur dan berterima kasih dengan semua inisiatif dilakukan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival Demi Paya Rumput yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di perkarangan Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Adun Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim; Adun Klebang Datuk Wira Lim Ban Hong; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman serta lain-lain kenamaan.
Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri memaklumkan, penutup karnival itu telah mendapat sambutan luar biasa apabila dihadiri kira-kira 5,000 warga Paya Rumput.
Jelasnya, antara pengisian yang disediakan adalah seperti Fun Walk yang disertai 1,500 peserta, agihan ayam percuma, pertandingan mewarna, pertandingan memasak, pesta konda kondi, selain di sebelah malam pula akan diadakan Konsert Amal Hitam Manis yang menampilkan Datuk Hattan, Black Hanifah dan Hazama.
Selain itu, majlis penutup karnival itu turut diserikan dengan persembahan istimewa tiga budaya iaitu kompang, tarian singa dan alat muzik tradisional India daripada komuniti DUN Paya Rumput.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


