Sorting by

×

TOK RAIS TUNAI JANJI, SEDIA TAPAK PERKUBURAN BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

PAYA RUMPUT 15 Februari – Kerisauan berhubung keluasan kawasan tanah perkuburan semakin menyusut di Kampung Krubong akhirnya menemui penyelesaian apabila tapak baharu seluas kira-kira suku hektar diserahkan kepada pihak Masjid bagi urusan berkaitan selanjutnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, proses penyerahan tanah berkenaan juga melalui semua prosedur ditetapkan termasuk oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).

“Secara rasmi umat Islam kawasan ini menerima tapak kubur baharu diserahkan oleh pihak pemaju PB Realty seluas kira-kira 0.4 ekar kepada pihak masjid.

“Dengan adanya kawasan baharu ia dapat menampung kekurangan tanah perkuburan sekitar Krubong khususnya kerana meskipun kampung ini nampak kecil mempunyai jumlah penduduk ramai.

“Di sini terdapat tiga taman perumahan serta tiga kariah kampung iaitu Kampung Sungai Badau, Kampung Ladang serta Kampung Krubong,” katanya.

Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah Kubur Dan Kubur Digital Sempena Karnival Demi Paya Rumput, di Kampung Krubong, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Melaka TPr. Abdulhan Abd Lamit dan Pengarah PB Realty Jonathan Poh.

Mengulas lanjut Rais berkata, penyerahan tapak tersebut merealisasikan janji yang dibuat sebelum ini bagi menangani kekurangan tanah perkuburan di kawasan berkenaan yang semakin mendesak.

“Perkara ini saya janji sejak awal lagi dan akhirnya dapat ditunaikan malah sebelum ini apabila masuk ke Kampung Krubong terasa berat bahu tetapi akhirnya dapat menarik nafas lega.

“Dua perkara besar dapat ditunaikan di kampung ini termasuk pelaksanaan kubur digital yang mana Kampung Krubong menjadi kawasan pertama dibawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput melaksanakan inisiatif diperkenalkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

366
Kongsi :
Previous post IKTIRAF VISI ANAK MELAKA PERKASA INDUSTRI KREATIF, PELANCONGAN
Next post 522 PLOT TANAH KUBUR KAMPUNG KRUBONG DIDIGITALKAN