Sorting by

×

522 PLOT TANAH KUBUR KAMPUNG KRUBONG DIDIGITALKAN

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

PAYA RUMPUT 15 Februari – Kampung Krubong menjadi kampung pertama di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput yang melaksanakan sistem kubur digital bagi memudahkan pengurusan termasuk carian maklumat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, dalam tempoh kira-kira dua minggu sebanyak 522 plot tanah kubur sudah berjaya didigitalkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Melaka di Tanah Perkuburan Islam Krubong.

“Dalam usaha ini kami mendapat sambutan yang cukup baik dalam kalangan penduduk apabila mereka memberikan kerjasama dengan berkongsi maklumat diperlukan.

“Usaha ini tidak terhenti di sini, sahaja sebaliknya keluarga atau waris boleh lagi untuk kemaskini maklumat dengan pihak pengurusan masjid ataupun Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” katanya.

Rais berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah Kubur Dan Kubur Digital Sempena Karnival Demi Paya Rumput, yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Melaka TPr. Abdulhan Abd Lamit, di Kampung Krubong, hari ini.

Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri berkata, inisiatif kubur digital di Kampung Krubong itu antaranya bertujuan mewujudkan pangkalan data yang dibuat secara digital.

“Menerusi pelaksanaan ini ia akan menambah baik tanah perkuburan tradisional dan seterusnya memudahkan pengesanan lokasi tapak kubur oleh waris,” katanya.

Sementara itu Abdulhan berkata, sebanyak 556 lot tanah perkuburan Islam membabitkan keluasan kira-kira 283 hektar dikenal pasti diseluruh Melaka.

“Daripada jumlah itu 202 lot adalah tanah wakaf milik Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) selain PLANMalaysia Melaka mencadangkan untuk mewujudkan tiga kawasan tanah perkuburan berpusat di Melaka.

“Sehingga kini di Melaka terdapat lima kawasan iaitu empat di Masjid Tanah dan satu di Kampung Krubong menjadi projek rintis kepada pelaksanaan kubur digital,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

645
Kongsi :
Previous post TOK RAIS TUNAI JANJI, SEDIA TAPAK PERKUBURAN BAHARU