
REZEKI KONSERT AMAL, DUA PENGUNJUNG MENANG MOTOSIKAL
PAYA RUMPUT 16 Februari – Bukan sahaja terhibur dengan persembahan artis, malah suami isteri ini tersenyum lebar apabila membawa pulang sebuah motosikal selepas diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah utama Konsert Amal Si Hitam Manis sempena Karnival Demi Paya Rumput di perkarangan Stadium Hang Jebat, pada Sabtu.
Zainab Mohamad, 39 berkata dia ditemani suami pada awalnya hanya singgah untuk mendapatkan barangan dapur namun mengambil keputusan menunggu hingga konsert tamat kerana tertarik dengan persembahan artis seperti Datuk Hattan bersama Hazama dan Black Hanifah.
“Alhamdulillah sudah tertulis rezeki kami menang hadiah cabutan utama, sebenarnya saya dan suami dalam perancangan untuk membeli motosikal baharu kerana yang lama sudah sudah rosak.
“Selepas ini dapatlah berulang alik ke tempat kerja dengan menunggang motosikal baharu. Syukur selesai masalah saya, kalau beli di kedai sudah pasti belanjanya agak besar,” katanya yang menetap di Taman Krubong Jaya.
Sementara itu, seorang lagi pemenang, Siti Nuur Qasih Mohd Faizal, 15, berkata, disebabkan masih belum mempunyai lesen, motosikal dimenanginya itu akan diberikan kepada ibunya untuk kegunaan harian.
“Ketika melihat deretan hadiah cabutan bertuah antaranya motosikal ini, terdetik dalam untuk membawanya pulang.
“Alhamdulillah ia milik saya. Terima kasih tidak terhingga kepada Datuk Rais kerana menyediakan hadiah ini untuk penduduk Paya Rumput,” katanya.
Terdahulu, konsert amal itu menampilkan penyanyi lagenda Datuk Hattan bersama Hazama dan Black Hanifah.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


