Sorting by

×

KUDA PONI COMEL ZOO MELAKA BIKIN JATUH CINTA

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 16 Februari – Saiznya yang kecil dan comel selain kelincahannya bermain pastinya membuatkan ramai yang jatuh cinta dengan kuda poni atau nama saintifiknya Equus ferus caballus.

Tidak hairanlah di Zoo Melaka, kehadiran enam ekor kuda poni, termasuk tiga sekeluarga yang dinamakan Awish, Lily dan Mona menjadi antara tarikan utama buat pengunjung.

Menurut penjaga (zookeeper) kuda poni, Muhammad Nazri Muhammad Iman, 54, berbeza dengan kuda biasa, kuda poni atau dikenali sebagai kuda padi mempunyai karakter uniknya tersendiri iaitu bersaiz sekitar 140 hingga 150 sentimeter (cm), selain kakinya lebih pendek dan mudah dilatih.

Dia yang mesra disapa Kojack berkata, antara karakter unik spesies itu adalah ia dikategorikan sebagai haiwan sosial yang mudah dilatih terutamanya apabila sudah mempunyai ‘bonding’ bersama penjaganya.

“Jadi, sebagai penjaga haiwan, kami akan sentiasa berkongsi maklumat mengenai haiwan-haiwan yang ada di sini sebagai maklumat dan ilmu pengetahuan, khususnya kepada kanak-kanak,” katanya yang telah berkhidmat selama lebih 13 tahun di Zoo Melaka.

Img 20260215 230141 759
TIGA ekor kuda poni yang dinamakan Awish, Lily dan Mona menjadi antara tarikan utama buat pengunjung di Zoo Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Kojack memaklumkan, sama seperti haiwan lain, menjaga kuda poni juga ada cabarannya yang tersendiri terutama dalam sudut kesihatan yang perlu dipantau dan diberi perhatian serius setiap hari.

“Ini kerana haiwan tidak boleh bercakap. Jadi sebagai penjaga, kami perlu mengetahui perubahan tingkah laku, selain memantau perubahan pada najisnya.

“Jika ada nampak perubahan seperti tiba-tiba lemah dan tidak seperti biasa, kita perlu segera melaporkannya kepada veterinar agar ia boleh dirawat dengan segera,” katanya.

Bagaimanapun dari sudut pemakanan, spesies comel itu tidak begitu cerewet dan hanya memerlukan rumput straw, rumput nappier dan dedak kuda sebagai sumber makanan utama.

Jadi, kepada orang ramai yang ingin mengetahui dan mengenali karakter unik kuda poni, apa kata anda datang sendiri ke Zoo Melaka untuk merasai pengalaman cukup bermakna ini bersama keluarga.

Zoo Melaka dibuka setiap hari iaitu bermula jam 10 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Jumaat dan 9 pagi hingga 6 petang pada setiap Sabtu, Ahad dan cuti umum.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

447
Kongsi :
Previous post PPSPM IMARAH RAMADAN DENGAN PROGRAM KEROHANIAN, KEBAJIKAN
Next post TEKAD SHERWIN PADA PARA SUKMA 2026